Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • BDR bermula esok, lebih 200,000 penjawat awam terlibat
  • NASIONAL

BDR bermula esok, lebih 200,000 penjawat awam terlibat

Utusan Sarawak 9 hours ago
PENJAWAT Awam mengemas barangan susulan arahan Kerajaan Malaysia melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai 15 April 2026, khususnya bagi yang menetap melebihi lapan kilometer dari pejabat. Langkah ini, yang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api susulan konflik Asia Barat, dengan kebenaran BDR tiga hari seminggu. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Pelaksanaan arahan bekerja dari rumah (BDR) yang akan bermula esok dijangka melibatkan lebih 200,000 penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata kelulusan untuk pelaksanaan BDR bagaimanapun bergantung kepada ketua jabatan masing-masing, berdasarkan faktor keperluan dan kesesuaian tugas.

“Sistem BDR sedia ada mampu menampung sehingga 200,000 penjawat awam, namun bukan semua akan diluluskan kerana ia tertakluk kepada pertimbangan ketua jabatan,” katanya selepas merasmikan Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, hari ini.

Terdahulu semasa berucap pada program itu, Shamsul Azri menyatakan keyakinan bahawa penjawat awam akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti sepanjang tempoh BDR.

“Kerajaan telah meluluskan dasar BDR bermula 15 April, tapi saya yakin penjawat awam tidak baring, duduk dan rehat, dan penjawat awam juga tidak beli-belah di pasar raya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan BDR tidak boleh dijadikan alasan untuk melambatkan atau menangguhkan program dirancang, sebaliknya penjawat awam perlu menyemak semula pelaksanaan program agar selaras dengan dasar penjimatan semasa tanpa membatalkan keperluan penting.

“Yang diminta ialah melakukan semakan semula program agar ia bersesuaian dengan dasar penjimatan sekarang, bukannya membatalkan atau menangguhkan program. Jika ia benar-benar perlu, kita perlu laksanakan,” katanya.

Susulan krisis tenaga global dan sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan kos, kerajaan bersetuju melaksanakan dasar BDR melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta GLC bermula 15 April ini.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bertujuan memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, di samping mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global.

Bagaimanapun dasar itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.

Dasar itu juga tidak termasuk kakitangan awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Konflik Asia Barat peringatan Malaysia percepat peralihan tenaga – Ahli akademik
Next: Keselamatan tenaga jadi keutamaan strategik negara, bukan lagi pilihan – Fadillah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.