
PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melaksanakan pemanjangan tempoh kredit hingga 60 hari bagi bayaran fi dan caj penerbangan berkuat kuasa pada 1 Mei ini bagi meringankan tekanan kewangan yang dihadapi oleh syarikat penerbangan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan operasi industri penerbangan terus terpelihara dalam tempoh mencabar berikutan konflik Asia Barat.
“Krisis geopolitik yang berlaku telah mencetuskan pembatalan penerbangan antarabangsa secara mendadak, khususnya melibatkan syarikat penerbangan dari rantau Asia Barat.
“Keadaan ini telah mencapai tahap kritikal pada 1 Mac lepas apabila kira-kira 75 peratus daripada jadual harian penerbangan ke rantau tersebut terpaksa dibatalkan,” katanya pada sidang media berhubung kempen penggunaan rel bagi menangani peningkatan kos bahan api di sini, hari ini.
Loke berkata sekiranya situasi itu berlarutan, ia berpotensi mengurangkan keyakinan pelancong antarabangsa dan mengakibatkan kerugian output ekonomi yang dianggarkan antara RM15 bilion hingga RM150 bilion sepanjang 2026.
Selain itu, Loke berkata bersempena dengan Musim Perayaan Hari Gawai dan Kaamatan, CAAM memperkenalkan rebat tiket penerbangan sebanyak RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Dalam hubungan ini, CAAM akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi menampung kos rebat tersebut, yang dianggarkan memanfaatkan kira-kira 100,000 penumpang dalam tempoh pemberian rebat yang akan berlangsung dari 15 Mei hingga 14 Jun ini,” katanya.
Loke berkata Kementerian Pengangkutan percaya kedua-dua inisiatif tambahan itu akan memberikan manfaat besar kepada rakyat, khususnya mereka yang melakukan perjalanan bagi tujuan pekerjaan, pendidikan, urusan keluarga dan lain-lain keperluan harian.
“Langkah ini juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan sistem pengangkutan awam negara terus menjadi pilihan utama yang mampu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya. – Bernama