
BINTULU: Usaha memperkukuh kesedaran komuniti dalam menjaga kebersihan persekitaran dan sumber air terus diberi penekanan sebagai langkah penting memastikan kelestarian alam sekitar di kawasan Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, peranan masyarakat amat penting khususnya dalam menangani isu pencemaran sungai dan pembakaran terbuka yang boleh memberi kesan kepada kesihatan serta ekonomi setempat.
Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah ke dalam sungai boleh menjejaskan kualiti air selain meningkatkan kos rawatan kepada pihak berkuasa.
“Penduduk, khususnya yang tinggal berhampiran sungai, diminta tidak membuang sampah ke dalam sungai.
“Hal ini kerana pencemaran sedemikian boleh menyebabkan sumber air sukar dirawat dan meningkatkan kos rawatan air,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Jepak di Dewan Masyarakat Kampung Jepak di sini, hari ini.


Dalam pada itu, beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan berterusan daripada komuniti dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih dan terpelihara.
“Isu pembakaran terbuka dan kebakaran tanah gambut juga perlu diberi perhatian serius kerana memberi implikasi besar kepada alam sekitar, kesihatan awam serta imej negeri,” tegasnya.
Menurut beliau, penganjuran program kesedaran alam sekitar mampu meningkatkan tahap kepekaan masyarakat selain menggalakkan penglibatan aktif dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing.
“Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti setempat amat diperlukan bagi memastikan usaha pemuliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” ujarnya.
Turut hadir pada program berkenaan adalah wakil jabatan dan agensi berkaitan, ketua masyarakat dan ketua kaum serta komuniti setempat.
Program berkenaan turut diisi dengan aktiviti kesedaran termasuk perkongsian maklumat serta penglibatan komuniti dalam usaha menjaga kebersihan persekitaran.
Oleh Carolyne Utih