Komuniti Sepanyol di Malaysia berikan sokongan padu kepada La Roja menjelang final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Sekitar 600 anggota komuniti Sepanyol di Malaysia bersiap sedia untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka, La Roja, apabila Sepanyol menentang juara tiga kali Piala Dunia FIFA, Argentina dalam perlawanan akhir yang dinanti-nantikan pada awal pagi Isnin.

Kuasa Usaha Kedutaan Sepanyol di Malaysia Alfonso Herrero Corral berkata, komuniti itu tidak pernah berbelah bahagi dalam memberikan sokongan pada setiap perlawanan Sepanyol walaupun terdapat perbezaan waktu dan sekali lagi berhimpun untuk memberikan sorakan kepada pasukan itu dalam usaha memburu kejuaraan dunia kedua.

Komuniti itu akan berkumpul di dua premis milik warga Sepanyol di Bukit Bintang, Vermut dan Pisco, menerusi acara tontonan khas yang dianjurkan kedutaan, selain menyertai tayangan awam rasmi di Dataran Merdeka.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan menyatakan rasa bangga terhadap komuniti Sepanyol atas sokongan serta kesungguhan mereka mengikuti dan berkumpul menyaksikan setiap perlawanan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama TV.

Sementara itu, Herrero turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada pasukan bola sepak kebangsaan Sepanyol, sambil berkata kedutaan menerima banyak mesej daripada penyokong tempatan yang meraikan kejayaan Sepanyol mara ke perlawanan akhir selepas 16 tahun.

“Kami amat berterima kasih atas mesej dan sokongan yang diberikan,” katanya.

Herrero turut menjemput rakyat Malaysia untuk bersama-sama beliau serta penyokong lain di Dataran Merdeka bagi menyaksikan tendang mula perlawanan pada 3.00 pagi Isnin.

Mengulas kejayaan Sepanyol mara ke pentas terbesar bola sepak antarabangsa itu, Herrero menyifatkan perjalanan pasukan berkenaan sebagai ‘benar-benar luar biasa’ selepas menewaskan juara dunia dua kali, Perancis, 2-0 pada aksi separuh akhir.

“Saya rasa kami semua sangat teruja menantikan perlawanan akhir Isnin ini. Pasukan kebangsaan ini telah bermain dengan penuh semangat, sepenuh hati, ketepatan serta corak serangan tanpa henti yang mencerminkan ciri terbaik bola sepak Sepanyol. Kami sudah bersedia untuk perlawanan akhir ini,” katanya.

Meramalkan kemenangan 2-1 memihak kepada Sepanyol, Herrero berkata kejayaan La Roja mara ke perlawanan akhir dibina menerusi kekuatan pasukan yang menggabungkan pemain berpengalaman, bakat muda sensasi seperti Lamine Yamal serta bimbingan jurulatih Luis de la Fuente.

“Ia mengambil masa beberapa tahun untuk mencapai tahap kesempurnaan dan kesepaduan seperti ini, dan saya fikir ketika ini pasukan kebangsaan kami berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Dunia,” katanya.

Sepanyol sebelum ini menjulang trofi Piala Dunia FIFA buat kali pertama pada 2010 selepas menewaskan Belanda 1-0 pada perlawanan akhir di Afrika Selatan menerusi jaringan kemenangan Andres Iniesta pada masa tambahan. – Bernama