
SIBU: Penganjuran program Karnival Kesihatan di Kampung Bandong membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan, khususnya berkaitan kanser serviks yang merupakan antara pembunuh senyap dalam kalangan wanita.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, berkata program yang menyasarkan wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun ini memberi manfaat besar kepada penduduk setempat melalui penyampaian maklumat kesihatan dan saringan percuma.
“Langkah ini bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah memberi kekuatan dan keyakinan kepada para wanita untuk lebih prihatin terhadap kesihatan diri mereka,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pemanca Sharifah Ainie Alwie semasa merasmikan program tersebut di Dewan Takraw, Kampung Bandong, hari ini.
Dr. Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka turut menyeru agar lebih ramai wanita tampil menjalani pemeriksaan Pap Smear dan ujian HPV, sambil menggalakkan golongan lelaki, khususnya suami, agar memberi sokongan dan dorongan kepada pasangan mereka.
“Adalah menjadi harapan saya agar program seperti ini mampu mencapai objektifnya dalam membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap penjagaan kesihatan,” tambahnya.
Karnival Kesihatan ini dianjurkan secara bersama oleh Klinik Kesihatan Jalan Oya, Universiti Lincoln, Pusat Khidmat DUN Nangka dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Nangka.
Menurut Dr. Annuar, pendidikan kesihatan dan saringan awal seperti ujian Pap Smear amat penting dalam usaha mencegah serta mengesan kanser serviks pada peringkat awal.
“Statistik global menunjukkan setiap dua minit, seorang wanita meninggal dunia akibat kanser serviks. Namun, berita baiknya adalah kanser ini boleh dicegah dan dirawat jika dikesan lebih awal,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa pada 2022, dianggarkan terdapat 660,000 kes baharu kanser serviks dan kira-kira 350,000 kematian direkodkan di seluruh dunia.
“Di Malaysia, kanser serviks kekal sebagai salah satu punca utama morbiditi dan mortaliti dalam kalangan wanita. Pencegahan melalui vaksinasi HPV dan saringan berkala seperti Pap Smear adalah strategi paling berkesan dalam mengurangkan beban penyakit ini,” jelas beliau lagi.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Kesihatan Sibu, Dr. Teh Jo Hun.
Oleh Akun Giman