SIBU: Pasukan koir Gereja Sts. Peter & Paul, Mukah kembali merangkul gelaran juara Festival Muzikal Satu Suara 2026 selepas menampilkan persembahan penuh bertenaga pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Pastoral Keuskupan Sibu, Kemuyang, pada 4 dan semalam.
Festival tahunan bertemakan “Gema Iman” itu menghimpunkan tujuh paroki di bawah naungan Keuskupan Sibu iaitu Dalat, Mukah, Sibujaya, Kanowit, Sarikei, Kapit dan Katedral Hati Kudus.
Membawa seramai 34 ahli yang terdiri daripada penyanyi dan pemain alat muzik, pasukan dari Mukah mempertaruhkan karya asli bertajuk “Iman Bergema Dalam Api Kristus”, hasil ciptaan Ryan Fredrick bersama penulis lirik Corina Raymund dan Vanessa Mill Raislar.
Menurut pihak Gereja Sts. Peter & Paul, persembahan berkenaan bukan sahaja berjaya memikat barisan juri, malah mendapat tepukan gemuruh serta sorakan penghargaan daripada para hadirin.
“Persembahan disampaikan dalam suasana dewan yang gelap, hanya diterangi nyalaan lilin yang dipegang setiap ahli koir. Cahaya lilin yang memecah kegelapan itu menjadi simbolik kepada sinar harapan dan nyalaan iman di dalam dada,” menurut kenyataan pihak gereja.
Menurutnya, elemen berkenaan turut membantu menyampaikan mesej utama lagu secara lebih hidup dan mendalam kepada para penonton.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan pasukan koir Gereja Sts. Peter & Paul, Mukah kembali merampas gelaran juara Festival Muzikal Satu Suara pada edisi tahun ini.




