
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berperanan sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat, sekali gus memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, berkata kerjasama erat antara KMKK, wakil rakyat dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan pembangunan kawasan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“Menyedari beban tanggungjawab yang dipikul oleh KMKK, kerajaan telah bersetuju untuk memasukkan tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ke dalam senarai rasmi tanggungjawab Ketua Kaum yang dilantik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Program Pemantapan Perkhidmatan dan Peranan KMKK Daerah Selangau Tahun 2025, semalam.
Tambahnya, JKKK merupakan institusi rasmi kerajaan di peringkat kampung, rumah panjang dan penempatan, yang berperanan penting dalam menyelaras pembangunan serta kebajikan masyarakat.
“Seorang Ketua Kaum yang juga bertindak sebagai Pengerusi JKKK perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, lengkap dengan carta organisasi, serta mampu mengenal pasti individu yang berpotensi untuk membantu melaksanakan pelan tindakan komuniti yang menyeluruh,” katanya.
Menyentuh mengenai program berkenaan, Gira menyifatkannya sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kefahaman KMKK terhadap peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin akar umbi dalam menyokong dasar kerajaan serta memperkasakan komuniti setempat.
“Untuk melahirkan seorang pemimpin bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi dalam dunia moden yang sentiasa berubah.
“KMKK perlu sentiasa bersiap siaga dengan maklumat yang tepat dan kemahiran yang relevan untuk menangani pelbagai isu kemasyarakatan,” tegas beliau.
Oleh Akun Giman