UNTUK MU… Penghulu Abang Norin Abang Norudin sedang menyampaikan cenderamata kepada Dayang Noorazah Awang Sohor sambil disaksikan oleh Dato Sri Rohani Abdul Karim pada Program Berambeh Raya Kampung Hilir Sri Aman dekat Bandar Simanggang malam kelmarin.
SIMANGGANG: Barisan muka baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga disaran agar berusaha lebih gigih untuk membantu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Penghulu Abang Norin Abang Norudin berkata barisan muka baharu KMKK DUN Lingga boleh berganding bahu untuk mencari idea dan seterusnya membantu kerajaan memajukan negeri lebih-lebih lagi pada zaman Teknologi Maklumat (IT) ini.
“Lagi pun kita kini sudah mempunyai seorang ADUN Lingga baharu iaitu Dayang Noorazah Awang Sohor yang sudah memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada Disember tahun lepas.
“Kemunculan wakil rakyat muda seperti beliau (Dayang) menuntut semua KMKK agar sama-sama menghasilkan idea atau buah fikiran yang lebih berpandangan ke hadapan demi memajukan kawasan DUN Lingga pada masa akan datang,” kata beliau.
Selain itu, beliau ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Majlis Perasmian Program Berambeh Kampung Hilir Sri Aman dekat sini malam kelmarin juga menyeru para KMKK itu agar rajin turun padang menemui rakyat di kawasan tadbir sendiri.
Kata Norin, KMKK melalui aktiviti turun padang itu mengambil tahu keperluan dan masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat di kawasan mereka sebelum ia dapat diketengah kepada agensi berkaitan atau pemimpin.
“Dengan berbuat demikian maka KMKK DUN Lingga secara tidak langsung dapat membantu wakil rakyat dan agensi kerajaan di sini untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih efisien dari masa ke semasa,” kata beliau.
Terdahulu buat julung kalinya lima Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan Kampung Hilir telah bergabung tenaga untuk menganjurkan Program Berambeh berkenaan.
Lima JKKK termasuk KRT yang terlibat dalam menjayakan program itu adalah Kampung Masjid Baru, Kampung Datuk, Kampung Haji Undom, Kampung Tanjung Engkabang dan Kampung Tanah Baru Sembau.
Pelbagai aktiviti diselit bagi memeriahkan program berkenaan antaranya pertandingan membuat kek lapis, cabutan hadiah bertuah, persembahan nyanyian lagu Hari Raya, penyampaian cenderahati dan jamuan makan.
Program berambeh berkenaan telah pun dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Dato Sri Rohani Abdul Karim.
Turut hadir, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, Pengerusi Pengelola dan para KMKK.
Oleh VALENTINE NGUMBANG