
LONDON: Syarikat penerbangan Belanda, Royal Dutch Airlines KLM pada Khamis memaklumkan ia akan membatalkan 160 penerbangan di Eropah bulan depan susulan kenaikan kos bahan api, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, KLM menjelaskan syarikat itu telah membuat beberapa pelarasan terhadap jadual penerbangannya bagi bulan hadapan.
“Ini melibatkan sejumlah kecil penerbangan dalam Eropah yang pada masa ini tidak lagi berdaya maju dari segi kewangan untuk diteruskan berikutan kenaikan kos,” menurut kenyataan itu.
Menurut syarikat penerbangan itu, tiada kekurangan bahan api jet, dan pembatalan itu membabitkan 80 penerbangan pergi balik ke dan dari Lapangan Terbang Schiphol di Belanda, bersamaan kurang daripada satu peratus operasi Eropahnya bagi tempoh berkenaan.
KLM menjangkakan pergerakan penumpang sempena cuti Mei akan meningkat dan sedang mengambil langkah bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi masing-masing seperti yang dijadualkan.
Ketegangan yang semakin memuncak susulan konflik di Iran telah meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan di seluruh dunia, dengan beberapa syarikat penerbangan kebelakangan ini mengumumkan pembatalan penerbangan dan pelarasan jadual. – Bernama-Anadolu