
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Pekerja peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) berlangsung dalam suasana penuh semangat di ibu negara, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang mewakili Pengarah Kerja Raya Sarawak.
Kehadiran wakil JKR Sarawak mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam menyokong usaha pemerkasaan tenaga kerja teknikal serta memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Majlis sama turut menyaksikan pelancaran Program Penempatan Khas Teknikal (PPKT), hasil inisiatif bersama antara KKR, JKR Sarawak dan JKR Sabah menerusi Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2025 yang dimuktamadkan di Santubong, Sarawak pada Februari lalu.
PPKT diwujudkan sebagai platform untuk meningkatkan kepakaran dan perkongsian pengalaman teknikal dalam kalangan pegawai JKR di seluruh negara.
Beberapa pegawai dari Sarawak telah dikenal pasti untuk menyertai program ini dan akan ditempatkan di Kementerian Kerja Raya sebagai usaha pembangunan kerjaya dan pengukuhan kapasiti sumber manusia sektor awam.
Dalam ucapannya, Nanta menekankan pentingnya JKR di seluruh negara memperkemas aspek pemantauan kerja penyelenggaraan jalan raya bagi memastikan perkhidmatan infrastruktur kekal efisien dan berkualiti tinggi.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama antara KKR, JKR Sarawak dan JKR Sabah dalam memenuhi keperluan teknikal di peringkat negeri dan Persekutuan.
Program berkenaan turut melibatkan agensi serta syarikat swasta di bawah seliaan kementerian, sekali gus membentuk ekosistem kolaboratif bagi melahirkan lebih ramai profesional teknikal yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Majlis ini bukan sahaja menjadi medan penghargaan kepada warga kerja kementerian, malah turut menjadi pemangkin kepada budaya kerja cemerlang, kompeten dan berdaya tahan sejajar dengan aspirasi pembangunan negara.