SERIAN: Semua Ketua Kampung (KK) di kawasan Ampungan dan Tarat tidak ketinggalan menerima surat makluman Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021 yang disampaikan sendiri oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, baru-baru ini.
Selain itu, beliau turut menyerahkan surat makluman projek bagi kawasan Ampungan bertujuan untuk menaik taraf Balai Raya Kampung Sebemban dan menambah baik Gereja SDA Kampung Rayang Serian yang masing-masing bernilai RM150,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu juga turut menyerahkan projek RTP bagi menaik taraf Bangsal Pertanian dan Nelayan di Kampung Ampungan yang bernilai RM100,000.
Dalam pada itu, untuk kawasan Tarat pula, beliau menyerahkan projek membina rumah gereja yang baharu iaitu St Thaddeus Kampung Tarat Melawi berjumlah RM290,000 dan projek menyiapkan Gereja SDA Kampung Tarat Mawang serta menambah baik Balai raya Kampung Bunga dan Bangunan Dewan Semali Kampung Baru Mawang yang mana masing-masing bernilai RM150,000.
Seterusnya, projek Gereja St. Paul Chapel Kampung Tarat Melawi bernilai RM70,000 dan projek pembinaan Bilik Gerakan Kampung Tarat Mawang bernilai RM50,000 turut diserahkan.
Akhir sekali, beliau turut menyampaikan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada ketua-ketua kampung bagi mewakili penerima di kampung masing-masing.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ