SARIKEI: Bantuan penutup hidung dan mulut dari Kerajaan Sarawak telah mula diagihkan kepada ketua isi rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Repok.
Pengagihan tersebut bermula pada Isnin lepas melalui Pejabat Daerah Sarikei dan diserahkan kepada Pusat Khidmat N45 Repok, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Ahli Jiran Tetangga untuk diagihkan.
Antara kawasan yang telah menerima bantuan penutup hidung dan mulut pada Isnin lepas ialah kawasan perumahan di Jalan Gaharu, Jalan Sirih, Jalan Riverview, Jalan Pandan, Jalan Pegaga, Jalan Nipah, Jalan Lavender, Jalan Sawit, Jalan Belian, Jalan Jasmine dan Jalan Baji Meruton.
Pengagihan secara berperingkat untuk kawasan seterusnya disambung semalam sehingga selesai.
Bagi KIR yang belum menerima bantuan penutup hidung dan mulut selepas 4 Mei, mereka disaran menghubungi Pejabat Daerah Sarikei melalui Whatsapp di talian 010-2121757.
Dalam pada itu, penduduk yang telah menerima bantuan penutup hidung dan mulut serta bantuan bekalan makanan dari Kerajaan Sarawak berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana prihatin dengan kebajikan rakyat.
Selain itu, mereka juga berterima kasih dengan bantuan yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).