KUCHING: Pakar dan penyelidik digesa meneroka potensi biodiversiti Sarawak bagi menyokong perkembangan teknologi perubatan, termasuk penyelidikan sel regeneratif dalam usaha mencari penyelesaian terhadap penyakit seperti kanser.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, Sarawak mempunyai khazanah biodiversiti yang luas dan perlu dimanfaatkan menerusi penyelidikan saintifik bagi kepentingan manusia.
Beliau berkata, perkembangan teknologi perubatan khususnya dalam bidang sel regeneratif merupakan antara bidang baharu yang wajar diberi perhatian oleh pakar dan penyelidik di Sarawak.
“Saya mahu pakar mengkaji bidang baharu dalam sains perubatan ini, iaitu sel regeneratif, dan saya berharap penyelidikan itu dapat mencari penyelesaian kepada penyakit baharu yang muncul, khususnya kanser,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan (SHInE) Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.
Menurutnya, terdapat potensi untuk bahan mentah bio daripada sumber biodiversiti dibangunkan sebagai platform bagi penyelidikan sel regeneratif.
Katanya, sekiranya sumber berkenaan dapat dikenal pasti dalam biodiversiti Sarawak, ia berpotensi membuka ruang kepada penyelidikan lanjut dalam usaha menangani penyakit seperti kanser.
“Jika ia dapat ditemui dalam biodiversiti kita, ada potensi bahawa kita mungkin dapat mencari penyelesaian terhadap penyakit kanser,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai kelebihan besar dari segi sumber biodiversiti dengan sebahagian besar kawasan negeri ini masih diliputi hutan.
Beliau berkata, kekayaan tersebut bukan sekadar khazanah semula jadi, sebaliknya merupakan aset strategik yang mempunyai nilai besar untuk penyelidikan, inovasi dan pembangunan bioekonomi.
“Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia dengan keluasan sekitar 748,000 kilometer persegi dan mempunyai lebih 400,000 kilometer persegi kawasan hutan.
“Sarawak pula mempunyai keluasan sekitar 124,000 kilometer persegi, dengan 60 peratus daripadanya diliputi hutan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penyelidik mempergiat kajian terhadap sumber biodiversiti Sarawak, termasuk meneroka peluang kerjasama dengan Indonesia, khususnya di Kalimantan.
Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan kekayaan biodiversiti Borneo dapat dikaji dan dimanfaatkan secara bertanggungjawab untuk kepentingan manusia.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan bioekonomi perlu dilaksanakan secara mampan dan inklusif dengan memanfaatkan bioteknologi, penyelidikan serta inovasi.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja berpotensi membuka peluang baharu dalam sektor kesihatan, malah boleh menyumbang kepada pertanian, keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan industri berasaskan bio bernilai tinggi.
Beliau berkata, usaha memperkukuh penyelidikan berasaskan biodiversiti turut perlu disokong ekosistem yang menghubungkan institusi penyelidikan, universiti, industri, pelabur dan rakan antarabangsa.
“Penyelidikan tidak seharusnya kekal di makmal atau jurnal akademik. Ia perlu menghasilkan teknologi baharu, penjagaan kesihatan yang lebih baik, industri inovatif dan peluang ekonomi,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




