Kipas ekzos kedai makan terbakar, pekerja pantas padam api

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Tindakan pantas pekerja sebuah kedai makan berjaya memadam kebakaran melibatkan kipas ekzos di Depo Kitchen Matang, Jalan Matang, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.31 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada 6.41 petang dengan bantuan anggota BBP Batu Lintang.

Menurut Komander Operasi, Asmadi Mohamad Nawei, kebakaran melibatkan kipas ekzos premis berkenaan dan api telah berjaya dipadam oleh pekerja kedai sebelum ketibaan pasukan bomba.

Pekerja terbabit menggunakan tiga unit alat pemadam api (APA) untuk memadam kebakaran berkenaan sekali gus menghalang api daripada terus merebak.

PREMIS Depo Kitchen Matang di Jalan Matang yang mengalami kebakaran, petang tadi. Foto JBPM Sarawak

Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca api serta keadaan di premis berkenaan benar-benar selamat.

Operasi yang melibatkan 18 anggota dengan dua jentera bomba (FRT), sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux itu berjaya dikawal pada 6.46 petang.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.59 petang dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi kejadian.