KUCHING: Suspek terlibat dalam kejadian membakar kereta di hadapan sebuah rumah seorang peniaga beg di Jalan Tondong, Taman Banquet, Batu Kawa di sini, awal pagi tadi, dipercayai berunsurkan khianat, kini dalam buruan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, berdasarkan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV), terdapat dua suspek lelaki terlibat menggunakan kenderaan disyaki jenis Naza Citra, bagaimanapun nombor pendaftaran tidak dilihat dengan jelas.
“Suspek pertama adalah seorang lelaki yang keluar darip kenderaan sebelah penumpang hadapan, anggaran ketinggian 160 – 170 cm.
“Suspek mengenakan penutup muka berwarna hitam, berpakaian serba gelap manakala suspek kedua ialah pemandu kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek yang duduk di bahagian penumpang bertindak keluar dari kereta dan menyalakan sumbu botol yang berisi cecair mudah terbakar kea rah kereta mangsa sebelum melarikan diri.
“Motif dan punca kejadian tidak diketahui
“Anggaran kerugian yang dialami kira-kira RM4,000,” ujarnya.
Katanya, ketika kejadian sekitar 3.20 pagi itu mangsa sedang tidur di rumah dan dikejutkan dengan bunyi seperti letupan dari luar rumah.
“Mangsa bergegas bangun dan keluar untuk melihat kejadian. Apabila sampai di luar rumah, mangsa mendapati bahagian belakang kereta miliknya jenis Toyota Vios sedang terbakar.
“Kebakaran telah berjaya dikawal oleh pihak bomba yang dipanggil ke lokasi. Namun demikian, kebakaran telah menjejaskan bahagian belakang kereta pengadu tersebut,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ketika kejadian berlaku, pengadu bersama isteri dan dua anak perempuan juga berada di rumah.
Hasil siasatan, mangsa, 53, bersama kesemua menafikan ada masalah hutang atau selisih faham dengan mana-mana pihak.
Tegasnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Oleh Connie Chieng