
KUCHING: Tradisi ‘Sarawak raya sebulan’ yang sinonim di negeri ini terus diraikan dengan pelbagai cara, termasuk pendekatan unik dalam kalangan belia yang memilih untuk menyambut Aidilfitri di tapak perkhemahan sempena program Raya Camp Meet di Pearl Happy Farm, Kuching.
Bagi Aezsya Annis Mosihi, 27, minat terhadap aktiviti berkhemah yang bermula sejak 2024 kini menjadi medium baharu untuk meraikan Aidilfitri bersama komuniti, sekali gus mencipta pengalaman berbeza daripada sambutan konvensional di rumah.
“Aktiviti tersebut bermula sebagai hobi bersama suami selepas kami mencari alternatif lain daripada rutin percutian biasa seperti menginap di hotel.
“Memang minat berkhemah dan bagi kami berdua, ini juga sebahagian usaha capai impian bersama. Saya masak, suami uruskan pemasangan khemah,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Tambah Aezsya, konsep perkhemahan mewah yang diketengahkan memerlukan kos agak tinggi, mencecah lebih RM10,000 bagi melengkapkan kemudahan seperti penghawa dingin, sofa dan tilam demi keselesaan sepanjang berkhemah.

Program bertemakan Aidilfitri itu, katanya, memberi pengalaman unik apabila para peserta saling berkunjung dari satu khemah ke khemah lain, seolah-olah tradisi rumah terbuka.
“Memang meriah sebab semua peserta perkhemahan pakai baju raya, tak kira agama. Suasana riuh rendah, macam sambutan di kampung.
“Perbezaan utama antara perkhemahan biasa daripada perkhemahan Raya ini adalah pada konsep dan suasana, di mana elemen tradisi seperti ketupat, pelita serta hidangan raya turut diterapkan dalam dekorasi khemah.
“Bila kita hias khemah ikut tema raya, rasa dia lain. Kena ada pelita, makanan atas meja untuk orang datang beraya dan itu yang bagi suasana raya sebenar,” luahnya.
Selain itu, pelbagai aktiviti seperti karaoke, tarian dan pertandingan menghias khemah turut diadakan, menjadikan sambutan lebih meriah dan interaktif berbanding kebiasaan.
Aezsya turut berkongsi bahawa konsep rumah terbuka di tapak perkhemahan dilaksanakan secara jamuan bawa makanan sendiri, di mana setiap makanan yang dibawa akan dikongsi bersama dengan para peserta yang mengikuti program tersebut.
“Menu paling saya suka mestilah masakan sendiri, saya buat spageti tomyam. Peserta lain pun ada yang bawa kek lapis sendiri, biskut, lemang dan macam-macam lagi.
“Walaupun berbeza daripada sambutan di rumah, saya berpendapat pengalaman tersebut memberikan keterujaan tersendiri, terutama dari segi kebersamaan dan aktiviti yang dijalankan,” jelasnya.

Lebih membanggakan, usaha dan kreativiti Aezsya bersama suami dalam menghias serta menyediakan suasana ini membuahkan hasil apabila khemah mereka dipilih sebagai khemah terbaik dalam program tersebut.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan golongan belia untuk mencuba pengalaman eperti ini sebagai alternatif baharu yang lebih dekat dengan alam dan memberi ruang untuk bersantai.
“Tak perlu mula dengan persediaan mahal, boleh mula dengan khemah biasa. Apa yang penting pengalaman dan suasana.
“Kalau boleh saya mahu menjadikan sambutan sebegini sebagai tradisi memandangkan minat mendalam terhadap aktiviti perkhemahan ini,” ujarnya.
Terdahulu, program Raya Camp Meet anjuran Pearl Happy Farm di Kuching menghimpunkan komuniti pencinta perkhemahan dalam suasana Aidilfitri, sekali gus mencerminkan kepelbagaian cara masyarakat Sarawak meraikan tradisi ‘Raya sebulan’ dengan pendekatan lebih santai dan kreatif.
Oleh Masrin Affirah