
SIBU: Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kaunselor Kevin Lau, semalam tampil memberi keterangan kepada pihak polis berhubung satu laporan yang dibuat terhadap sebuah laman Facebook dikenali sebagai Berita 757.
Kevin yang tiba di Balai Polis Sentral Sibu kira-kira 9.45 pagi, hadir bersama Senator Robert Lau, susulan permintaan pegawai penyiasat untuk memberikan keterangan lanjut bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Kevin memberitahu, laporan tersebut dibuat susulan penyiaran sebuah video bertajuk ‘Sarawak Buta Sejarah’ pada 1 Mac lalu, yang disifatkan mengandungi unsur mengelirukan serta memperlekehkan rakyat Sarawak.
Frasa ‘Sarawak Buta Sejarah’ adalah sangat tidak wajar kerana ia seolah-olah menggambarkan rakyat Sarawak tidak memahami sejarah sendiri.
“Tanggapan sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah tidak boleh diterima,” jelasnya dalam satu kenyataan media.
Beliau menegaskan, pihaknya komited untuk membetulkan naratif sejarah yang didakwa telah diputarbelitkan oleh pihak berkenaan.
“Ketepatan sejarah bukan sesuatu yang boleh dipersoalkan sesuka hati. Sebarang usaha untuk memesongkan fakta perlu ditangani secara bertanggungjawab,” ujarnya.
Menurutnya, Sarawak mempunyai latar sejarah yang tersendiri, termasuk pernah berfungsi sebagai sebuah kerajaan di bawah pentadbiran Brooke dengan sistem pemerintahan, kehakiman, mata wang dan angkatan bersenjata sendiri.
“Sarawak turut mempunyai identiti kenegaraan seperti bendera, lagu kebangsaan serta menjalinkan hubungan luar, selain pernah diiktiraf oleh Amerika Syarikat pada 1850 dan Britain pada 1863,” ujarnya lagi.
Beliau juga menyentuh mengenai perkembangan perlembagaan Sarawak, termasuk pengenalan Sembilan Prinsip Utama pada 1941 di bawah Charles Vyner Brooke, yang kemudiannya dirujuk dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962.
“Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Sarawak diserahkan kepada United Kingdom pada 1946 dan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British, namun prinsip-prinsip asas tersebut terus dikekalkan dalam pentadbiran negeri,” katanya.
Kevin turut merujuk kepada aspek perundangan berkaitan pelantar benua Sarawak, termasuk Perintah (Pindaan Sempadan) Sarawak 1954 serta perkembangan undang-undang laut antarabangsa sebagai asas rujukan.
Beliau menegaskan, kepentingan memastikan sejarah Sarawak dipersembahkan secara tepat dan berhemah.
“Sejarah Sarawak mencerminkan evolusi politik dan budaya yang unik.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan fakta sejarah terus dipelihara dan difahami dengan betul,” ujar beliau.
Beliau turut memberi jaminan Pemuda SUPP akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang tempoh siasatan berlangsung, selain menggesa semua pihak agar mengamalkan perbincangan yang berasaskan fakta serta saling menghormati dalam isu berkaitan sejarah dan identiti negeri.
Oleh Akun Giman