Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Warga emas terima khabar duka, rumah runtuh ketika sertai program di Sabah
  • Utara
  • WILAYAH

Warga emas terima khabar duka, rumah runtuh ketika sertai program di Sabah

Utusan Sarawak 5 hours ago
RUNTUH… Keadaan rumah warga emas yang belum sempat dibaiki telah runtuh sepenuhnya, kejadian yang berlaku di Kampung Subak A, pagi tadi.

BEKENU: Kegembiraan seorang warga emas yang menyertai program di Sabah bertukar menjadi duka apabila menerima berita rumah miliknya runtuh dalam kejadian sekitar jam 5.50 pagi tadi.

Ketua Kampung Subak A, Hasimah Kasim berkata, pemilik rumah, Sumey Mahmud, 68, kini masih berada di Sabah dan telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh penduduk kampung.

Menurutnya, rumah berkenaan didiami oleh seorang warga emas yang juga merupakan ibu saudaranya, namun wanita itu tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku.

“Dalam perbualan telefon, saya dapat mendengar ibu saudara saya menangis kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa rumah tersebut.

“Sebelum ini, penduduk kampung ada memaklumkan bahawa salah satu alang kayu di bahagian dapur telah uzur dan perlu diganti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Namun, belum sempat dibaiki, rumah itu telah runtuh sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau menambah, anak kepada pemilik rumah yang bekerja di Miri telah bergegas pulang ke kampung sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 6.45 pagi.

Rumah kayu jenis bertiang berukuran kira-kira 30 kaki panjang dan 40 kaki lebar itu dilaporkan runtuh sepenuhnya.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah yang diketuai Komander Operasi, PBK II (TBBK I) Azizul Rahman Sa’adi tiba di lokasi pada 7.52 pagi selepas menempuh jarak sejauh 45 kilometer.

Kenyataan itu memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku sekitar 5.50 pagi, namun tiada penghuni berada di dalam rumah ketika runtuhan berlaku.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba menjalankan pemeriksaan keselamatan dan mendapati struktur rumah telah runtuh sepenuhnya serta tidak selamat untuk dimasuki,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak bomba turut menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri kawasan runtuhan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Operasi dikawal pada 7.53 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dan tiada agensi lain terlibat di lokasi. Punca kejadian masih dalam siasatan.

Oleh Adum Liu

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Kevin tampil beri keterangan polis isu video ‘Sarawak buta sejarah’
Next: Ular sawa sepanjang 1.22 meter ditangkap APM Marudi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.