SIBU, 29 Nov: Hubungan berterusan dengan masyarakat akar umbi menjadi antara pendekatan yang terus diberi perhatian calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie menerusi kunjungan dari rumah ke rumah di kawasan itu.
Beliau berkata, pendekatan bersemuka penting bagi memastikan hubungan dengan penduduk dan keluarga mereka terus terjalin, selain membolehkan beliau kekal dekat dengan masyarakat setempat.

“Penting bagi kami untuk meneruskan kunjungan dan terus berhubung bukan sahaja dengan penduduk, tetapi juga keluarga mereka.
“Ini cara terbaik untuk kami terus dekat dengan masyarakat akar umbi. Jadi, sepanjang tempoh berkempen, jika ada kelapangan, kami akan meneruskan kunjungan dari rumah ke rumah,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu juga memberi peluang kepada penduduk untuk melihat sendiri kehadiran beliau bersama pasukannya, sekali gus membina keyakinan terhadap mereka.
Kevin berkata, usaha mendekati masyarakat tidak seharusnya terhenti selepas memperoleh kepercayaan pengundi, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang tempoh lima tahun.

“Ini juga sebagai peringatan kepada diri kami bahawa walaupun sudah mendapat kepercayaan mereka, kami akan terus berada bersama penduduk untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Dalam kunjungan terbaharu di Sungai Bidut, Kevin bersama pasukan kempennya mengunjungi kira-kira 50 kediaman bagi bertemu penduduk serta mendengar keluhan dan aspirasi mereka.
Oleh Tarani Lanting



