KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MMC Corporation Bhd bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2020 (Suku Kedua 2020) meningkat kepada RM77.36 juta daripada RM67.25 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasil susut 19.5 peratus kepada RM990.68 juta daripada RM1.23 bilion sebelumnya.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata hasil rendah itu adalah disebabkan kemajuan perlahan projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi Lembah Klang Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (KVMRT-SSP) dan kuantiti penumpang serta kargo yang rendah di Lapangan Terbang Senai, selain kuantiti rendah yang dikendalikan di semua pelabuhan, yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bagaimanapun ia diimbangi oleh keputusan lebih baik syarikat sekutu, iaitu Malakoff, keuntungan penjualan tanah di Senai Airport City dan perbelanjaan operasi rendah,” kata syarikat itu.
Mengenai prospek masa depan, MMC berkata, ia menyedari akan persekitaran perniagaan yang mencabar dalam tahun kewangan 2020 memandangkan kelembapan ekonomi dunia akibat daripada pandemik Covid-19.
Tetapi kumpulan itu berpandangan, penurunan kes Covid-19 ketika ini sebagai satu kemajuan positif ke arah pemulihan ekonomi sekiranya situasi kekal seperti ini.
Mengenai prestasi segmennya, ia berkata bahagian pelabuhan dan logistik akan terus menumpukan kepada pengoptimuman sumber susulan prospek kuantiti kontena global yang bertambah baik.
Bahagian tenaga dan utiliti dijangka menyumbang pendapatan yang konsisten daripada dua syarikat sekutunya iaitu Malakoff dan Gas Malaysia, manakala bahagian kejuruteraan dijangka menyediakan pendapatan tetap kepada kumpulan daripada nilai perolehan kontrak sedia ada yang besar diterajui projek Jajaran KVMRT-SSP.
“Bahagian itu juga kekal aktif dalam usahanya untuk menambah nilai perolehan kontrak selain menumpukan usaha menyiapkan projek sedia ada tepat pada masanya,” kata syarikat itu.
MMC berkata, memandangkan persekitaran yang mencabar pada masa depan, ia komited untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya dengan menumpukan kepada prestasi operasi dan pengoptimuman kos selain meneroka peluang baharu.-Bernama