KUCHING: Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Miro Simuh kecewa dengan tindakan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkaitan isu peruntukan untuk membaiki sekolah daif di negeri ini.
Chong dilaporkan mempertahankan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menuntut Sarawak menyelesaikan hutang RM1 bilion kepada Putrajaya terlebih dahulu sebelum memperuntukkan dana untuk membaiki sekolah usang di negeri ini.
“Saya amat kecewa dengan kenyataan Chong yang boleh dilihat sebagai cubaan terdesak dan memperkecilkan isu itu. Kita dibuli sepanjang pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).
“Siapa boleh lupa ketika Hari Sarawak iaitu pada 2019, apabila rakyat bersuka ria meraikan satu peristiwa yang menandakan sejarah negeri, kita telah disampaikan dengan berita pedih bahawa sekolah kita tidak dapat dibaiki sehingga Sarawak membayar balik hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan.
“Ia adalah remeh bagi Guan Eng untuk menuntut pembayaran balik hutang itu, yang tidak mempunyai kebimbangan terhadap rakyat Sarawak dan profesionalisme di pihak Menteri Kewangan ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Miro yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu berkata amat jelas DAP dan PH mengamalkan cara politik yang mendahului segala-galanya.
“Kita juga masih ingat kenyataan Guan Eng pada 22 Julai 2019 dengan dakwaan Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun.
“Ironinya ialah negeri yang dikatakan ‘tidak lama lagi akan muflis’ ini (sebaliknya) meminjamkan wang kepada Kerajaan Persekutuan untuk membaiki keadaan sekolah di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, ini menimbulkan persoalan kepada Chong iaitu siapa sebenarnya yang memutar belit fakta.
“Siapa yang beralih kepada politik longkang untuk menyelamatkan muka? Ia adalah Chong dan DAP.
“Daripada memperjuangkan kepentingan Sarawak, beliau entah bagaimana ‘mencuci tangan’ daripada insiden malang ini dengan menyerang kerajaan negeri dan Premier Sarawak.
“Kita semua berada di sana untuk menyaksikan bagaimana Sarawak dilayan oleh DAP dan PH dan tiada sebarang penipuan boleh mengubahnya,” katanya.
Hari ini, sebuah portal berita nasional, memetik Chong yang turut menuduh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg cuba ‘memusingkan fakta dengan berniat jahat’.
Pengerusi DAP Sarawak itu dilaporkan berkata, peruntukan untuk membaiki sekolah usang di negeri ini telah dibuat dalam Bajet 2019.
Chong memdakwa peruntukan RM1 bilion yang diminta kerajaan Sarawak adalah melebihi peruntukan yang diluluskan Parlimen dalam Bajet 2019.