

SRI AMAN: Ketua masyarakat digesa untuk memperluaskan pemahaman serta meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat (IT).
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan, selain kemahiran dalam IT, mereka perlu juga menguasai kemahiran menaip dan menghasilkan dokumen seperti surat rasmi, kertas kerja, minit mesyuarat serta notis mesyuarat.
Menurutnya, penganjuran bengkel pemantapan kemahiran teknologi maklumat untuk ketua masyarakat akan membentuk pemimpin masyarakat yang celik IT dalam era pendigitalan ini.
“Melalui bengkel ini, peserta didedahkan kepada penggunaan perisian seperti Microsoft Word, Microsoft Excel dan Google Workspace, sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan teknologi semasa.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa ini bukanlah latihan pertama dan terakhir seumpamanya, tetapi merupakan permulaan kepada lebih banyak lagi program yang akan dilaksanakan pada masa hadapan.
“Saya juga berbesar hati untuk melihat seramai 25 peserta menjadi perintis bengkel ini. Saya berharap anda dapat berkongsi ilmu serta kemahiran yang diperoleh sepanjang tiga hari ini dengan ahli jawatankuasa anda supaya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya semasa Penutupan Bengkel Pemantapan Kemahiran Teknologi Maklumat untuk Ketua Kaum di Parlimen Sri Aman, hari ini.
Pusat Khidmatnya bekerjasama dengan Sarawak Skills Sri Aman dalam penganjuran bengkel ini dengan mengambil kira kemudahan serta kepakaran yang mereka miliki.
Jelasnya, beliau amat menekankan proses pembelajaran sepanjang hayat kerana pembelajaran adalah satu proses yang berterusan.
“Tidak kira berapa usia kita, ingatlah bahawa pembelajaran adalah satu proses yang berterusan. Kita belajar setiap jam, setiap minit dalam sehari melalui perbuatan, pengalaman, pemerhatian, penerokaan kendiri dan banyak lagi,” katanya. – UKAS