LONDON: Ketua Eksekutif Liga Perdana Inggeris (EPL), Richard Masters menyuarakan kebimbangannya terhadap Piala Dunia Kelab tahun ini yang boleh mencetuskan “kesukaran besar” untuk Manchester City dan Chelsea menjelang musim baharu EPL.
Kedua-dua kelab itu akan menjadi wakil England dalam kejohanan 32 pasukan yang diperbesarkan oleh Fifa di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kesatuan pemain mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang manakala liga kebangsaan tidak berpuas hati dengan kesan terhadap pertandingan domestik mereka.
Perlawanan akhir Piala Dunia Kelab dijadualkan berlangsung pada 13 Julai, sementara musim 2025/26 EPL akan bermula pada 16 Ogos.
“Liga dan kesatuan pemain tidak gembira dengan keputusan yang dibuat di peringkat global,” kata Masters kepada Sky Sports.
“Kami melihat Piala Dunia Kelab akan berlangsung dan ia jelas akan memberi kesan kepada Liga Perdana Inggeris.
“Jika Manchester City atau Chelsea mara ke final kejohanan itu, Liga Perdana akan bermula empat minggu kemudian, dan semua pemain sepatutnya diberikan cuti tiga minggu mengikut komitmen kontrak mereka.
“Jadi bagaimana ia boleh dilakukan? Dengan kesukaran yang hebat saya fikir,” katanya lagi. – AFP