Pusat Informasi Limbang dipecah masuk, lelaki 39 tahun ditahan

Facebook
WhatsApp
SUSPEK menunjukkan barangan yang dicuri. Foto Polis Limbang

LIMBANG: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan Rabu lalu kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk Bangunan Pusat Informasi di Tebingan Limbang yang menyebabkan kerugian hampir RM78,000.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh kakitangan Unit Kejuruteraan Majlis Daerah Limbang (MDL) selepas melakukan pemeriksaan di bangunan berkenaan pada 11.59 pagi Selasa lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pintu gelangsar serta keseluruhan bingkai aluminium tingkap kaca di tingkat atas dan bawah bangunan tersebut telah hilang dan dipercayai dicuri.

“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis kemudian berjaya menahan suspek, yang juga lelaki tempatan, bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Parum, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki bangunan berkenaan dengan mengumpil pintu menggunakan objek keras sebelum mengambil bingkai aluminium tingkap kaca.

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek turut membawa kepada penemuan semula barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

“Barangan berkenaan didapati telah dileraikan kepada bahagian-bahagian kecil dan sebanyak lapan guni berisi logam aluminium dirampas untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, Bangunan Pusat Informasi berkenaan merupakan aset di bawah seliaan MDL dan terletak di kawasan Tebingan Limbang, di tengah Bandar Limbang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang atau mana-mana balai polis berhampiran.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.