
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh intervensi secara menyeluruh bagi menangani isu kehilangan pekerjaan dan memelihara kesejahteraan tenaga kerja negara.
Dalam kenyataan hari ini KESUMA memaklumkan, usaha itu dilaksanakan melalui program latihan semula kemahiran, serta peningkatan kemahiran berfokus kepada kemahiran masa hadapan seperti automasi, e-dagang dan teknologi digital melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta platform MyMahir di bawah TalentCorp.
Menurut KESUMA, kementerian itu turut mempergiat padanan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs dan penganjuran karnival kerjaya bersasar, khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur, di samping melaksanakan intervensi awal bersama majikan berisiko bagi mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.
“Pendekatan ini bagi memastikan peralihan pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, seterusnya meminimumkan tempoh pengangguran dan memelihara kesejahteraan tenaga kerja negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut KESUMA, pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung peningkatan kes kehilangan pekerjaan yang tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur bagi Mac 2026, dengan data semasa merekodkan 5,900 kes kehilangan pekerjaan di Malaysia pada Mac, iaitu penurunan sebanyak 21.3 peratus berbanding 7,500 kes pada bulan sebelumnya.
“Walaupun jumlah keseluruhan menunjukkan trend penurunan, tumpuan kes di Selangor dan Kuala Lumpur adalah sejajar dengan kedudukan kedua-dua negeri sebagai hab ekonomi utama negara yang mempunyai kepadatan tenaga kerja yang tinggi,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, perkembangan pasaran buruh menunjukkan tanda positif dengan peningkatan peluang pekerjaan kepada kira-kira 107,000 kekosongan pada Mac, mencerminkan daya tahan ekonomi domestik yang berterusan.
Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap perlindungan keselamatan sosial pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus komited memastikan kebajikan pekerja yang terjejas sentiasa terpelihara melalui pelaksanaan inisiatif di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
Selain itu, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) melaksanakan langkah intervensi strategik bagi melindungi kebajikan pekerja yang berhadapan dengan penamatan perkhidmatan.
“JTK memantau ketat proses ini dengan mewajibkan majikan melaporkan sebarang cadangan pemberhentian sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal melalui penyerahan Borang Pemberhentian (Borang PK).
“Kegagalan majikan mematuhi arahan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 63 Akta Kerja 1955, Seksyen 59 Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Seksyen 60 Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76),” menurut KESUMA.
Justeru, KESUMA menegaskan bahawa kerajaan sentiasa mengambil pendekatan proaktif, dan berpandangan ke hadapan dalam memastikan keseimbangan antara kestabilan pasaran buruh serta kesejahteraan pekerja, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, yang boleh memberikan kesan kepada sektor-sektor tertentu.
Orang ramai yang terjejas disaran mendapatkan bantuan dan maklumat lanjut melalui portal MYFutureJobs www.myfuturejobs.gov.my.- Bernama