
KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal dipertingkat dengan perancangan perolehan aset termasuk kapal Sokongan Logistik Pelbagai Peranan(MRSS), Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan Kapal Misi Pesisir (LMS).
Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata perolehan MRSS merupakan langkah kritikal dalam menutup jurang keupayaan logistik antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak, selain memperkukuh kesiapsiagaan negara berdepan krisis dan konflik serantau.
Beliau berkata aset sokongan logistik yang berupaya mengangkut empat helikopter itu juga mampu menyokong pelbagai usaha kemanusiaan terutama ketika kejadian bencana alam.
“Kita seharusnya mempunyai keupayaan untuk membolehkan pergerakan logistik di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dengan cekap sekali,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini, hari ini.
Badarudin berkata perolehan kapal MRSS kini berada pada peringkat akhir perancangan dan tender bagi aset itu dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau berkata TLDM dijangka menerima LCS pertama selewat-lewatnya pada April tahun depan.
Selain itu, penerimaan tiga LMS kelompok 2 yang sedang dibina di Turki pada tahun depan juga akan meningkatkan keupayaan tempur pasukan itu.
Mengenai penggunaan teknologi Kenderaan Permukaan Tanpa Pemandu (USV), Badarudin berkata pihaknya sedang berusaha bersama pemain industri tempatan untuk membangunkan keupayaan dron permukaan, memandangkan keberkesanannya dalam corak peperangan moden.
Sementara itu, orang ramai diundang untuk melawat Pangkalan TLDM Lumut dan pangkalan utama lain di seluruh negara iaitu di Klang, Kuantan, Kota Kinabalu dan Sandakan sempena sambutan Hari TLDM ke-92 pada 27 April ini.
“Ada pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk pertunjukan laut maritim, udara dan juga pertunjukan statik untuk melihat keupayaan TLDM secara lebih dekat. Kenali TLDM secara rapat dan dengan mengenali kami, saya yakin rakyat Malaysia akan lebih yakin dengan keupayaan kami,” katanya.- Bernama