PENOLONG Ketua Jurulatih Kuching City FC Sulaiman Hussin ternyata kecewa dengan kesilapan mudah yang dilakukan oleh anak-anak buahnya sehingga memusnahkan impian untuk mengutip tiga mata penuh ke atas Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam malam semalam.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga Skuad Projek FAM-MSN akhirnya berjaya memperoleh mata pertama dalam saingan Liga Premier 2021 musim ini.
Walaupun berpuas hati dengan keseluruhan prestasi ditampilkan pemain, Sulaiman kecewa cara gawangnya dibolosi yang disifatkan sebagai tidak sepatutnya berlaku ketika pasukan memburu tiga mata mutlak menentang pasukan ‘ubi muda’ itu.
“Hari ini kita tidak bermain seperti yang dirancang, dalam senario terburuk kita tidak kalah dan dapat satu mata di tempat lawan.
“Walaupun semua pasukan lain berjaya mencuri mata penuh dengan Projek FAM-MSN, hari ini (malam semalam) saya nampak adalah itu adil buat kedua-dua pasukan maraih satu mata,” katanya.
Beliau berkata Projek FAM-MSN mempamerkan permainan yang lebih bersemangat namunkesilapan mudah yang dilakukan pasukannya mengakibatkan dua gol berjaya dijaringkan pihak lawan.
Dalam pada itu, skuad The City Boys memulakan aksi mereka dengan garang apabila menjaringkan gol seawal minit ke-10 melalui pemain import, Yuta Suzuki namun skuad Projek FAM-MSN menyamakan kedudukan 14 minit kemudian melalui Safwan Mazlan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, tetapi Kuching City sekali lagi meletakkan diri mereka di hadapan melalui jaringan cantik Mohamad Alif Hassan pada minit ke-58 dengan merembat masuk menerusi sepakan percuma dari luar petak penalti.
Pasukan Skuad Projek FAM-MSN enggan mengalah dan terus menambah serangan ke arah kubu Kuching City.
Hasilnya, pasukan tuan rumah berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui pemain gantian Muhammad Farris pada minit ke-81 sekali gus menidakkan kemenangan yang dicari Kuching City.
Projek FAM-MSN yang belum pernah menang, mahupun seri di dalam Liga Premier 2021 sebelum ini adalah dilihat sebagai lawan mudah bagi Kuching City mencuri tiga mata penuh sebelum perlawanan dilangsungkan.
Perlawanan berikutnya, Kuching City akan bertandang ke Stadium Sultan Muhammad Ke-lV Kota Bharu menentang pasukan Kelantan FC esok pada jam 4.45 petang.
Oleh ADI SAFARMAN