Kesihatan mental di tempat kerja tanggungjawab bersama – Lee Lam Thye

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 10 Oktober: Mempromosikan kesihatan mental di tempat kerja merupakan tanggungjawab bersama majikan dan pekerja, dengan organisasi digesa mengutamakan kesejahteraan psikologi serta keselamatan fizikal bagi meningkatkan produktiviti dan prestasi.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kesihatan mental tidak wajar dipandang remeh kerana aspek itu memainkan peranan penting dalam memastikan pekerja dapat mengekalkan fokus, membuat keputusan, menjalin hubungan baik di tempat kerja serta menyumbang kepada kejayaan organisasi.

“Tempat kerja tidak boleh dianggap ‘selamat’ sekiranya seseorang pekerja mengalami lesu upaya melampau akibat beban kerja yang tidak munasabah. Begitu juga, tempat kerja tidak selamat jika pekerja berdepan dengan perbuatan buli atau gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan Laporan Kesejahteraan di Tempat Kerja 2024 yang diterbitkan oleh Employment Hero, sebanyak 67 peratus pekerja di Malaysia mengalami lesu upaya melampau pada 2024 berbanding 58 peratus pada 2022.

Lee berkata, masalah kesihatan mental yang sering tidak disedari boleh menjejaskan tumpuan pekerja, mengurangkan motivasi, meningkatkan risiko kesilapan serta menyebabkan ketidakhadiran dan penurunan produktiviti, termasuk apabila pekerja hadir di tempat kerja tetapi tidak dapat bekerja secara optimum.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pekerja, malah memberi kesan kepada prestasi organisasi dan ekonomi negara.

“Hal ini bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi juga isu ekonomi. Kehadiran pekerja di tempat kerja tanpa keupayaan untuk bekerja secara produktif secara senyap-senyap menjejaskan produktiviti dan memberi kesan kepada pertumbuhan negara,” katanya.

Beliau berkata, majikan perlu mewujudkan budaya kerja yang menyokong kesejahteraan pekerja dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan kaunseling, menggalakkan keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan peribadi, melatih pengurus mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan psikologi serta melaksanakan dasar bagi melindungi pekerja daripada gangguan dan tekanan berlebihan.

“Pekerja pula perlu mengambil langkah proaktif dengan mendapatkan bantuan apabila diperlukan, memberikan sokongan kepada rakan sekerja serta memupuk budaya kerja yang berteraskan empati dan saling menghormati,” katanya.

Lee turut menekankan kepentingan keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan peribadi, yang disifatkannya sebagai satu keperluan dan bukannya kemewahan. Menurutnya, rehat yang mencukupi serta masa bersama keluarga dan untuk aktiviti peribadi mampu mengurangkan tekanan, mencegah lesu upaya melampau dan meningkatkan kepuasan kerja.

Beliau berkata, majikan juga perlu mengambil kira tekanan kerja dan risiko psikososial dalam strategi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi mengelakkan kemalangan serta kecederaan di tempat kerja.

Dalam pada itu, Lee menyambut baik pengenalan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994), yang mewajibkan majikan menjalankan penilaian risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta melaksanakan langkah-langkah untuk menghapuskan atau mengurangkan risiko yang dikenal pasti, termasuk risiko berkaitan bahaya psikososial.

Beliau berkata, Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial di Tempat Kerja (PRisMA) 2024 mampu membantu majikan menilai dan mengurus risiko psikososial di tempat kerja.

Selain itu, organisasi disaran supaya lebih mengutamakan kesejahteraan pekerja dalam komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), memandangkan pekerja merupakan modal sosial yang bernilai dan bukannya sekadar sumber organisasi.

Beliau turut menggesa majikan, pembuat dasar dan pihak berkepentingan supaya melaksanakan dasar kesihatan mental di tempat kerja, mengurangkan stigma melalui komunikasi terbuka, melatih penyelia menangani masalah tekanan mental dengan sewajarnya, menggalakkan aturan kerja fleksibel dan beban tugas yang munasabah serta menerapkan nilai belas ihsan dalam budaya organisasi. – Bernama

PPS sumbang 50 kerusi roda kepada HUS

KUCHING, 8 Oktober: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) menyumbangkan 50 kerusi roda kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) susulan keperluan penggunaan yang