Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Keselamatan tenaga jadi keutamaan strategik negara, bukan lagi pilihan – Fadillah
  • NASIONAL

Keselamatan tenaga jadi keutamaan strategik negara, bukan lagi pilihan – Fadillah

Utusan Sarawak 8 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keselamatan tenaga bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keutamaan strategik negara berikutan ketegangan yang meningkat dan gangguan di Selat Hormuz yang memberi impak kepada pasaran tenaga global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata harga minyak terus mencatatkan turun naik, yang secara langsung mempengaruhi kos elektrik dan perniagaan serta ekonomi.

“Oleh itu, kita perlu terus memperkukuh kedudukan kita dengan membangunkan sumber tenaga domestik yang stabil dan mampan bagi memastikan daya tahan jangka panjang,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyiapan Projek Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di sini hari ini. 

Beliau berkata bekalan tenaga bersih telah menjadi penentu utama kepada keputusan pelaburan dalam ekonomi global hari ini.

Katanya syarikat multinasional dan sektor pertumbuhan tinggi lain seperti semikonduktor, pusat data dan pembuatan termaju dipengaruhi oleh komitmen penyahkarbonan dan keperluan kemampanan.

“Melalui pembekalan tenaga bersih menerusi inisiatif seperti CGPP dan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), Malaysia kini dikenali sebagai destinasi pelaburan hijau utama untuk industri masa depan,” katanya.

Selain itu, Fadillah berkata industri pusat data Malaysia antara yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, dengan pelaburan komited bernilai berbilion dolar daripada firma teknologi global seperti Google, Microsoft, Amazon dan Nvidia. 

Dalam memberikan perspektif yang lebih luas, katanya sebuah pusat data berskala besar boleh menggunakan tenaga antara 20 dan 100 megawatt (MW) dengan mudah.

Fadillah berkata Tenaga Nasional Bhd (TNB), melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn Bhd (TRe), Solarvest Holdings Bhd dan Savelite Engineering Sdn Bhd, telah menyiapkan loji fotovoltan solar di bawah CGPP melalui Setia Kawan Energy Sdn Bhd (SKE) dan Selarong Pertama Energy Sdn Bhd (SPE). 

Katanya projek yang mencatatkan kejayaan ini menunjukkan kemajuan Malaysia yang berterusan dalam menterjemahkan dasar kepada infrastruktur tenaga bersih yang nyata dan berimpak, selain menjadi contoh kepada rangka kerja dasar yang dapat membuka penyertaan sektor swasta dan mempercepat pelaksanaan tenaga bersih pada skala besar.

“Penambahan dua ladang solar CGPP ini, menyumbang gabungan kapasiti kira-kira 60 MW arus ulang-alik, Malaysia telah mencapai lebih 12 gigawatt (GW) kapasiti tenaga boleh baharu terpasang pada 2025.

“Dengan tenaga solar sebagai pemacu utama pertumbuhan, kita menuju ke arah sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sebanyak 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus pada 2050,” katanya.

Mengenai kejayaan projek itu, Naib Presiden Jualan, Aset dan Pemasaran Global Kumpulan Solarvest Tan Qi Jie berkata kedua-dua projek itu telah menarik gabungan pelaburan kira-kira RM300 juta, menjadikannya CGPP terbesar yang telah siap di Malaysia setakat ini.

Beliau berkata projek tersebut dijangka menyumbang kira-kira 1.0 peratus kepada kapasiti tenaga boleh baharu luar tapak Malaysia.- Bernama

Continue Reading

Previous: BDR bermula esok, lebih 200,000 penjawat awam terlibat
Next: Empat karya seni dikaitkan dengan 1MDB bernilai RM786,556 dibawa pulang – SPRM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.