ASAJAYA: Masyarakat setempat digesa untuk berganding bahu dan bekerjasama dalam mengatur dan mentadbir kawasan sendiri melalui Program Kepolisan Komuniti.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, masyarakat setempat terutamanya di kawasan kampung adalah pihak yang perlu bersama untuk mengatur dan mentadbir kawasan sendiri kerana tahu akan selok-belok kawasan mereka.
“Program ini akan membantu kita dalan membangunkan kawasan kita kerana ia akan menjadi tanggungjawab bersama dalam membendung ancaman serta kegiatan yang boleh memudaratkan masyrakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Kepolisan Komuniti Daerah Asajaya di sini, semalam.
Abdul Karim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asajaya berkata, pada masa dahulu, semasa jaringan jalan raya masih belum ada, iaitu sekitar 70-an hingga 80-an, kampung boleh ditadbir tanpa bantuan polis.
“Apa jua masalah dalam kampung, kita sendiri akan mengaturnya melalui jawatankuasa kampung. Namun kini, kita perlu turut serta dengan pihak berkuasa dalam mengekang pelbagai masalah daripada menggangu kawasan kita.
“Antaranya seperti masalah penyalahgunaan dadah, kecurian dan juga wabak yang mengancam penduduk seperti Covid-19.
“Wabai ini adalah antara musuh yang tidak kelihatan dan ia menjadi satu masalah untik kita melawan musuh ini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pasukan kepolisan komuniti dalam membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian wabak ini dari menjangkiti penduduk,” jelasnya.
Karim menambah, penduduk perlu diingatkan sentiasa untuk menjaga penjarakkan fizikal serta sentiasa menggunakan topeng dan menjaga kebersihan diri bagi keselamatan diri dan orang di sekeliling.
“Oleh itu, saya mengharapkan supaya pengetahuan yang diperolehi melalui program ini boleh dikongsi bersama penduduk kampung yang lain agar mereka faham dan tahun akan tugas untuk keselamatan dan kesejahteraan adalah tanggungjawab bersama,” kata Abdul Karim.
Abdul Karim turut mengatakan, jumlah ketua kampung dibeberapa kampung di daerah tersebut akan ditambah tidak lama lagi.
“Kerajaan juga telah meluluskan perkara ini demi meringankan beban penghulu yang sedia ada kini.
“Ini juga kerana anda adalah barisan hadapan yang menjaga kawasan dan mengatur pembangunan bagi kawasan anda,” katanya.
Oleh Alexandra Lorna