Kerjasama pelbagai pihak penting tangani penyalahgunaan dadah – Rosey

Facebook
WhatsApp
DATUK Rosey Yunus bersama Mazlan Jikran menyiram bunga sebagai simbolik perasmian Seminar Kesedaran Penyalahgunaan Dadah Daerah Subis 2026 di Dewan Masyarakat Bekenu hari ini.

BEKENU, 7 November: Penganjuran Seminar Kesedaran Penyalahgunaan Dadah Daerah Subis 2026 langkah penting dalam usaha intervensi sosial dan tingkat kesedaran masyarakat bahaya penyalahgunaan dadah.

Penganjuran seminar itu bukan sekadar platform menyampaikan maklumat, sebaliknya menjadi ruang untuk mendekati masyarakat, memahami cabaran yang dihadapi serta mengenal pasti bentuk bantuan yang benar-benar diperlukan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata demikian pada Seminar Kesedaran Penyalahgunaan Dadah anjuran Pusat Intervensi Pembangunan Komuniti (CDIC) Daerah Subis di Dewan Masyarakat Bekenu hari ini.

“Usaha menangani isu penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama menyeluruh pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan institusi keluarga.

“Isu penyalahgunaan dadah bukanlah sesuatu yang boleh ditangani oleh satu agensi sahaja. Ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan yang paling penting, institusi keluarga,” katanya.

Rosey yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat CDIC Daerah Subis turut menekankan kepentingan sokongan keluarga dalam membantu individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah membina semula keyakinan diri, meneruskan proses pemulihan serta kembali menjalani kehidupan yang lebih stabil.

“Kehadiran ahli keluarga yang turut bersama peserta seminar merupakan sokongan mereka dalam memastikan proses pemulihan dapat diteruskan dengan baik.

“Penubuhan CDIC merupakan pendekatan intervensi sosial yang memberi penekanan kepada sokongan komuniti, bimbingan dan penglibatan pelbagai agensi bagi membantu golongan yang memerlukan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, CDIC Daerah Subis diharapkan tidak hanya berfungsi sebagai pusat penganjuran program, tetapi menjadi platform yang mudah diakses masyarakat untuk mendapatkan maklumat, sokongan serta peluang memperbaiki kehidupan.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha menangani penyalahgunaan dadah perlu mengambil kira pelbagai faktor berkaitan, termasuk keadaan keluarga, persekitaran sosial, peluang pekerjaan, kemahiran dan sokongan masyarakat.

Justeru, pendekatan bersepadu yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat perlu diperkasakan bagi memastikan usaha pencegahan dan pemulihan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan di Daerah Subis.

Hadir sama ialah Ketua AADK Daerah Miri Mazlan Jikran, Fauziliana Osman (wakil Pegawai Daerah Subis) dan Penyelia CDIC Daerah Subis Mohd Amirrul Farhan Ali.

Oleh Adum Liu