KUCHING: Kerjasama erat dalam kalangan semua pihak terlibat dalam pelaksanaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) berjaya dan siap tepat pada waktunya, kata, Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.
Lee pada lawatannya ke beberapa tapak pembinaan projek KUTS baru-baru ini, menekankan kepentingan kerja berpasukan dan penyelarasan antara Sarawak Metro dan pelbagai agensi negeri serta kontraktor yang terlibat, untuk menyampaikan sistem pengangkutan awam moden dan cekap pertama di Kuching.
Lawatan tapak itu turut disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng dan wakil dari beberapa agensi negeri termasuk Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU), Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS), Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Antara lokasi utama yang dilawati ialah Depot Rembus dan tapak stesen di sepanjang jajaran Blue Line di Jambatan Sungai Kuap dan berhampiran Pusat Jantung serta stesen Persimpangan di Simpang Tiga.
Lee mengulangi keperluan untuk bekerjasama dan komunikasi berterusan antara Sarawak Metro dan semua agensi berkaitan untuk mengatasi cabaran dan memastikan projek itu kekal mengikut jadual.
“Sarawak Metro mesti memantau projek ini dengan teliti supaya ia boleh mengemas kini perkembangannya secara berterusan tepat pada masanya supaya orang ramai sentiasa mengikuti perkembangannya,” kata Lee.
Beliau menyatakan keyakinannya bahawa projek itu akan mengubah landskap pengangkutan awam Kuching dengan ketara sebaik sahaja siap.
Oleh Nur Ain Otsman