SARATOK: Kerjasama padu antara Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, JKKK dan Pusat Khidmat ADUN menjadi pemangkin kejayaan pelaksanaan agenda pembangunan di DUN Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, golongan berkenaan merupakan “mata dan telinga” kepada pemimpin dalam menyalurkan maklumat serta mengenal pasti isu yang dihadapi penduduk di peringkat akar umbi.
Menurutnya, kerjasama erat antara Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, JKKK dan Pusat Khidmat ADUN amat penting bagi memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat.
“Peranan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan JKKK amat besar kerana mereka berada paling dekat dengan rakyat.
“Mereka perlu terus berganding bahu dengan pemimpin supaya segala keperluan utama penduduk dapat dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi dialog bersama Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan JKKK Kampung Kupang Hulu, Kampung Kupang Tengah serta Kampung Kupang Hilir di kediaman Penghulu Misis Aris di Kampung Kupang, kelmarin.

Dalam sesi tersebut, Mohamad turut menerangkan beberapa projek pembangunan luar bandar yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, antara projek utama ialah pembinaan Jambatan Krian 2 di Tanjung Kalimah, Pagan yang telah ditender pada Jun lalu, selain projek pembinaan jalan ke Kampung Perpat, Batang Maro dan Paloh.
Menurutnya, kedua-dua projek itu dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, di samping meningkatkan jaringan perhubungan serta membuka lebih banyak peluang kepada penduduk setempat.
Selain pembangunan fizikal, beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak yang disediakan untuk manfaat rakyat, termasuk Skim Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), Kenyalang Gold Card (KGC) serta beberapa bantuan kebajikan lain.

Beliau berkata, semua inisiatif tersebut dapat dilaksanakan hasil kestabilan politik serta perpaduan yang kukuh di Sarawak, sekali gus membolehkan kerajaan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan JKKK terus memperkukuh kerjasama dengan Pusat Khidmat ADUN bagi memastikan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju, makmur dan inklusif dapat direalisasikan.
Pada masa sama, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Penghulu, Ketua Kaum dan semua ahli JKKK yang hadir serta menjayakan sesi lawatan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sambil berharap hubungan baik yang terjalin akan terus memperkasakan pembangunan di Kampung Kupang dan kawasan sekitarnya.
Oleh Adi Safarman



