MESRA…Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol mengadakan satu pertemuan bersama rombongan media yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak, Jaafar Jantan.
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak terus memperkukuhkan kerjasama terutamanya dari segi penyebaran maklumat berkaitan dasar terkini kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, perkongsian serta penyebaran maklumat daripada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan penting untuk memastikan masyarakat akar umbi mengetahui dasar-dasar terkini yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Kedua-dua agensi kerajaan ini berfungsi sebagai sebuah jambatan menghubungkan antara kerajaan dan masyarakat akar umbi,” katanya.
“Perbincangan kali ini merangkumi cadangan untuk mengadakan Majlis Media Sarawak ataupun Majlis Penerangan Sarawak. Ini adalah satu permulaan yang baik dan kami telah mencadang untuk mengadakan beberapa siri lagi perjumpaan dan mesyuarat,” katanya, ketika ditemui pemberita.
Tambah beliau, antara yang menarik hasil daripada perbincangan semalam ialah cadangan untuk mengadakan Majlis Media Sarawak ataupun Majlis Penerangan Sarawak.
“Banyak lagi perkara yang menarik hasil daripada perbincangan hari ini tapi secara keseluruhannya ialah untuk merapatkan kerjasama antara warga media dan agensi kerajaan, baiknya pusat atau negeri.”
Sementara itu, Pengarah JAPEN Sarawak, Jaafar Jantan berkata, jalinan kerjasama JaPen bersama UKAS akan diperkasakan agar mesej kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat tidak kira umur.
“Sekiranya Jabatan Penerangan dan beberapa agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dapat bersatu padu, kita akan dapat memperluaskan rangkaian serta merapatkan jurang komunikasi dan maklumat.
“Ia akan memudahkan kita menyampaikan maklumat kepada semua peringkat sama ada di bandar, luar bandar, belia, dewasa dan sebagainya.
“…Dan juga berperanan untuk menyelaraskan koordinasi peranan antara JaPen dan UKAS agar perlaksanaan program-program media di Sarawak mencapai sasaran,”ujar beliau.
Turut hadir, Pengarah UKAS, Samat Junai, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sarawak, Nasrul Hakim Md Noh, Ketua Biro Bernama Sarawak, Hamdan Ismail dan Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Borneo, Mohd Rizal Mohamed Yunus.
Oleh AZREEN KERIA