
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang memperluas pendekatan kerjasama awam swasta (PPP) dalam pengurusan fasiliti sebagai langkah memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan kecekapan pengurusan aset serta memastikan kemudahan awam terus memberi nilai jangka panjang kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan mampan, inovasi serta tadbir urus yang lebih cekap.
Menurut beliau, kerajaan perlu beralih daripada model tradisional yang mengurus sendiri keseluruhan operasi aset kepada peranan sebagai pemilik aset yang strategik dengan memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus, dasar, pemantauan prestasi dan pengurusan kontrak.
“Pengurusan fasiliti hari ini bukan lagi sekadar membaiki kerosakan atau melaksanakan penyelenggaraan rutin, sebaliknya memastikan aset awam kekal selamat, berfungsi dengan cekap dan mampu memenuhi keperluan rakyat sepanjang kitaran hayatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Pengurusan Fasiliti Asia Ke-5 (FMAC 2026) di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia, hari ini.
Katanya, Sarawak telah membuktikan keberkesanan model tersebut menerusi pengurusan perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang dikendalikan pihak swasta di bawah pemantauan kerajaan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi tanpa menjejaskan akauntabiliti.
Beliau berkata, pendekatan sama kini sedang diteroka dalam pengurusan loji rawatan air luar bandar yang ketika ini dikendalikan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
“Melalui kerjasama dengan sektor swasta, kerajaan dapat memanfaatkan kepakaran teknikal, pengalaman operasi serta inovasi bagi meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan kemudahan kritikal ini, manakala jabatan berkaitan boleh memberi tumpuan kepada fungsi sebagai pengawal selia, pentadbir kontrak dan pemantau prestasi,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan itu juga berpotensi diperluaskan kepada pengurusan keselamatan bangunan kerajaan, landskap dan pelbagai perkhidmatan sokongan fasiliti yang lain.
Dalam pada itu, beliau berkata transformasi tersebut memerlukan penjawat awam memperkukuh kemahiran dalam bidang perolehan, pentadbiran kontrak, pengurusan aset, pemantauan prestasi serta membuat keputusan berasaskan data.
Pada masa sama, penyedia perkhidmatan swasta juga perlu beralih daripada amalan penyelenggaraan konvensional kepada penggunaan teknologi digital, automasi dan penyelenggaraan ramalan bagi meningkatkan prestasi aset serta pengalaman pengguna.


Beliau turut menggesa semua peserta memanfaatkan persidangan itu sebagai platform untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta meneroka penyelesaian inovatif dalam pengurusan fasiliti moden.
Persidangan yang bertemakan Pengurusan Fasiliti Mampan: Manfaat Menyeluruh kepada Semua Pihak Berkepentingan itu menghimpunkan wakil kementerian, jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan, pemain industri, ahli akademik serta profesional pengurusan fasiliti dari dalam dan luar negara.
Mengakhiri ucapannya, beliau mengalu-alukan kehadiran semua delegasi ke Sarawak dan menggalakkan peserta dari luar negeri mengambil peluang menikmati keunikan budaya serta makanan tempatan seperti laksa Sarawak dan mi kolok sepanjang berada di Kuching.
Oleh Shikin Mahmud