MARUDI: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil mengesa Majlis Daerah Marudi (MDM) supaya mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf Dewan Suarah Marudi.
Menurutnya, projek menaik taraf dewan tersebut sudah sekian lama terbengkalai dan perlu disegerakan.
Jelasnya, terdahulu, kerja-kerja menaik taraf dewan tersebut dijalankan oleh pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah kontraktor Rizqiy Engineering dengan kos projek RM980,307 selama sembilan bulan bermula 7 Disember 2023 dan siap 6 September tahun ini.
Bagaimanapun, katanya pihak kontraktor berkenaan hanya melaksanakan kerja-kerja membaik pulih siling dewan dan menukar atap yang bocor serta mengecat bahagian luar dewan sahaja.
“Kerja-kerja menaik taraf dewan berkenaan akan disambung oleh pihak MDM yang telah menerima lantikan sebagai agensi pelaksana daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Pembangunan Keusahawanan.
“Sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk menyambung kerja-kerja menaik taraf dewan berkenaan,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai sambungan waterfront fasa II, daripada Fort Hose hingga ke Dewan Suarah, Penguang berkata, konsultan yang telah dilantik mempunyai dua reka bentuk yang akan dikemukakan kepada Premier Sarawak.
“Ini terpulang kepada Premier Sarawak untuk memilih mana satu yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.
Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Marudi, percaya tender akan dikeluarkan tahun depan dan menyentuh pembinaan jalan baharu dari Miri ke Marudi, jelasnya, projek tersebut dijangka akan dilaksanakan pada Mac tahun depan atau diawalkan lagi.
“Kita juga telah memutuskan sub kontraktor yang akan menjalankan pembinaan jalan dari Miri ke Marudi ke Kuala Melinau dan juga dari Long Panai ke Long Lama,” jelasnya ketika meninjau progres menaik taraf dewan tersebut, hari ini.
Penguang pada masa sama turut memberi jaminan agar masyarakat di Marudi dan Baram khususnya tidak bimbang akan pelaksanaan pembinaan tersebut memandangkan dua kontraktor yang dilantik iaitu Shin Yang dan Samling, masing-masing mempunyai pengalaman yang luas.
Turut hadir, Jurutera Bahagian JKR Bahagian Miri Stephen Ung Neng, Pengerusi MDM Kaunselor Edward Mendai, Setiausaha MDM Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta, wakil Pegawai Daerah Marudi, SAO Vanessa Joseph beserta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) yang lain.
Oleh Jiku Juguong