Kerap letih, berdebar antara tanda awal penyakit jantung yang sering diabaikan – IJN

Facebook
WhatsApp
JAGA KESIHATAN JANTUNG...Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandang ringan gejala seperti kerap berasa letih, berdebar-debar, sakit dada dan sukar bernafas.

KUALA LUMPUR: Gejala penyakit jantung yang muncul secara halus seperti kerap berasa letih dan berdebar-debar berpanjangan antara tanda awal yang sering diabaikan, menyebabkan pesakit tidak mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya, berkata kebanyakan individu cenderung menganggap gejala ringan sedemikian tidak memerlukan rawatan lanjut, terutama apabila rasa tidak selesa itu reda selepas beberapa jam.

“Biasanya, pesakit kita ini kalau ada rasa sakit yang dianggap ringan, mereka akan berehat di rumah kerana menyangka gejala itu akan hilang selepas dua atau tiga jam, jadi mereka tidak datang berjumpa doktor.

“Namun, ini mungkin satu simptom yang berkait dengan penyakit jantung yang memerlukan seseorang itu mendapatkan rawatan daripada doktor,” katanya pada Program Malaysia Petang Ini (MPI) bertajuk Hari Jantung Sedunia 2026: “Don’t Miss A Beat” di Bernama TV, hari ini.

Dr Shaiful Azmi berkata ramai beranggapan hanya kesakitan dada yang teruk atau sesak nafas memerlukan rawatan kecemasan di hospital, sedangkan tanda-tanda awal yang ringan juga tidak wajar dipandang remeh.

Beliau berkata selain sakit dada dan sukar bernafas, orang ramai dinasihatkan supaya segera ke klinik atau hospital sekiranya kerap mengalami rasa berdebar tanpa sebab, berpeluh dingin atau pitam.

“Pitam berlaku disebabkan degupan jantung yang tidak normal dan keadaan ini juga memerlukan rawatan segera.

“Sekurang-kurangnya pesakit perlu bertemu dengan doktor untuk memeriksa tekanan darah dan nadi serta menjalani ujian elektrokardiogram (ECG) bagi membolehkan doktor mengesahkan atau menolak kemungkinan berlaku serangan jantung,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Shaiful Azmi menegaskan bahawa risiko serangan jantung berkait rapat dengan amalan gaya hidup harian, termasuk pola pemakanan, kualiti tidur dan kekerapan melakukan aktiviti fizikal.

Sehubungan itu, beliau menyarankan masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan seimbang, mendapatkan tidur yang mencukupi serta bersenam secara berkala, selain tidak menangguhkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengesyaki sebarang perubahan pada tubuh. – Bernama