KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan bersetuju meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang mengakibatkan kemalangan membayar pampasan kepada mangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat Ogos tahun ini, sebanyak 28 kes maut akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah direkodkan.
“Tragedi pada malam Hari Kebangsaan yang mengorbankan empat individu termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka di Lebuhraya Pantai Timur 1 di Temerloh, Pahang amat menyentak sanubari,” kata beliau semasa membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu. Anwar berkata sistem telematik akan diwajibkan untuk dipasang pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko termasuk menghubungkan dengan alat pengesan alkohol sebelum pemandu memulakan perjalanan.
“Pelaksanaan secara sukarela dibuat hingga 2027 sementara kerajaan sedang membangunkan pangkalan data pemandu untuk penguatkuasaan,” kata beliau.
Anwar berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan bagi menyelenggara Jalan Persekutuan termasuk hampir RM800 juta khas kepada kontraktor G1-G4.
Peruntukan bagi mempercepat pelaksanaan projek kecil seperti jalan berlubang pula ditingkatkan kepada RM40 juta sementara jalan negeri dibaiki menggunakan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM5.7 bilion.
“Lembaga Lebuhraya Malaysia akan membina 15 tempat berteduh motosikal, memasang 70 kamera litar tertutup (CCTV) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan menyediakan 50 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik di lokasi strategik,” kata beliau. – Bernama



