
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membayar wang pendahuluan RM200 sehektar iaitu sebahagian daripada kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan kepada 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara bagi mengurangkan bebanan mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu, yang dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini, akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta.
Perdana Menteri berkata setiap keluhan pesawah sentiasa didengari Kerajaan MADANI yang menyalurkan bantuan khas melalui Insentif Pembajakan Kepada Pesawah seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 14 April lepas.
“Saudara Mohamad Sabu (umumkan bantuan) ditingkatkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah ekoran kenaikan harga diesel komersial,” katanya.
Anwar juga berkata kerajaan akan terus mencari ikhtiar bagi meringankan beban dan kos yang dihadapi rakyat ketika negara berdepan krisis bekalan global. – Bernama