KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menunaikan janji dan tanggungjawab kepada 28 pemilik tanah dari Kampung Segedup sebagai ganti rugi kepada projek pengembangan kampung.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyerahkan sebanyak 33 cek kepada penduduk kampung berkenaan setelah tanah mereka digunakan oleh Kerajaan Negeri dalam program tersebut.
Menurutnya program penyambungan itu dilakukan untuk memperluaskan kampung dan menyediakan perumahan yang lebih baik untuk penduduk.
“Hari ini kita berkumpul untuk melaksanakan tanggungjawab kerajaan untuk membayar ganti rugi kepada penduduk atas tanah mereka yang digunakan bagi melaksanakan pengembangan kampung di Kampung Segedup,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada Majlis penyampaian cek pampasan tanah kepada penduduk di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Jelas Abang Johari kerajaan Sarawak optimis menyediakan kemudahan perumahan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Salah satu kawasan yang telah kami kenal pasti adalah kawasan antara Sungai Maong dan Segedup,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah kepada para penerima.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk untuk menjaga aset yang diterima dengan penuh tanggungjawab.
“Kita juga harus bersyukur kerana negeri kita sekarang masih harmoni yang mana rakyat dapat hidup makmur di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri yang stabil,” ujarnya.
Abang Johari menegaskan, selagi beliau sebagai Ketua Menteri bersama Kabinetnya, Kerajaan Sarawak akan berusaha untuk membangunkan negeri ini sejajar dengan visi agar Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Oleh Diyana Samsuddin