
PANTU: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperkasa infrastruktur pendidikan dan kemudahan komuniti luar bandar demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Terbaharu, projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) membabitkan peruntukan berjumlah RM300,000 kini sedang rancak dilaksanakan di kawasan Pantu.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, peruntukan tersebut digunakan bagi membiayai projek bina baharu Gelanggang Serbaguna Terbuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Pantu.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan tapak projek RTP iaitu di SJKC Chung Hua Pantu dekat sini kelmarin.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menjelaskan, lawatan kerja tersebut amat penting bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
”Kita mahu memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan dengan berkualiti demi manfaat jangka panjang para pelajar dan penduduk setempat,” katanya.

Projek di bawah agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman itu telah mula dibina sebaik penyerahan tapak secara rasmi kepada pihak kontraktor.
Proses penyerahan tapak sebelum ini dilakukan melalui kaedah cabutan undi kepada kontraktor terpilih, RIE Enterprise, pada 5 Disember 2025 yang lalu.
Ketika lawatan tersebut, Harden turut mengambil peluang bersama pegawai JKR untuk meninjau beberapa cadangan projek pembangunan infrastruktur lain di kawasan sekitar.
Antara lokasi yang dilawati termasuklah tapak bina baharu gelanggang serbaguna terbuka, projek menaik taraf tempat letak kereta Benevolent Society, serta cadangan menaik taraf padang bola sepak SJKC Chung Hua Bangkong.
Turut hadir mengiringi beliau, Jurutera JKR Sri Aman Vanessa Siah Sampar, Penolong Jurutera JKR Sri Aman Fathi Jali dan Johairi Saldrik, Pemanca Denneil Saweng, Penghulu Lee Thong Sen, Kapitan Lee Foh Kueh serta Kapitan Liew Shan Boo.
Oleh Adi Safarman