TURUN PADANG… Dato Sri Dr. Sim Kui Hian ketika melawat perparitan di Jalan Perpati, semalam.
SIBU: Kerajaan Sarawak komited terhadap pelan pembaharuan bandar Sibu yang melibatkan Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek dan Pelan Induk Saliran Bandar Sibu yang akan mentransformasikan bandar ini.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan lebih RM1 bilion sebagai pembiayaan awal untuk rancangan itu.
Menurutnya, pelan pembaharuan itu meliputi 500 ekar dan melihat kepada saiznya, ia sangat mencabar.
“Kita perlu menguruskan air, bangunan, rumah dan saliran dan sebab itu kita memerlukan pelbagai kepakaran untuk pembangunan semula.
“Kita juga amat berharap semua tempat yang kita lawati di luar negara sudi membantu walaupun kita berasal dari hutan Borneo (jungle of Borneo).
“Projek ini mengambil masa tetapi komitmen itu ada. Pembiayaan awal lebih RM1 bilion telah diketepikan,” jelasnya kepada pemberita ketika melawat projek menaik taraf parit di Jalan Pipit, hari ini.
Beliau memberitahu, keputusan Kerajaan Negeri untuk melibatkan perunding antarabangsa bagi pelan pembaharuan bandar Sibu bukan kerana mengabaikan perunding tempatan.
“Pelan pembaharuan bandar Sibu adalah projek yang besar. Kerana skalanya, Premier Sarawak, selepas dua taklimat oleh perunding tempatan, memutuskan bahawa kita mahukan kepakaran antarabangsa untuk projek itu.
“Kita akan dapatkan perunding tempatan untuk bekerjasama dengan perunding antarabangsa itu kerana kita benar-benar mahukan sesuatu yang bermanfaat untuk menyelesaikan masalah perparitan di Sibu dan pada masa sama kita mahu projek itu dilakukan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Dr Sim mendedahkan, ramai yang memandang sinis mengenai pelaksanaan projek itu dan mereka juga mempersoalkan keperluan untuk melibatkan perunding antarabangsa untuknya.
“Kalau kita ada kepakaran, sudah tentu kita akan pergi untuk perunding tempatan. Tetapi jika kita tidak mempunyai kepakaran, kita mesti berani untuk mengatakan bahawa kita memerlukan kepakaran antarabangsa bukan kerana kita mahu terlepas pandang kepakaran tempatan.
“Kedua-dua perunding tempatan itu telah menyampaikan taklimat mengenai tebatan banjir dan pembangunan semula Sibu kepada Premier Sarawak pada Januari dan Julai tahun ini.
“Premier memutuskan kita perlu mendapatkan kepakaran antarabangsa selepas taklimat kerana kita tidak mahu terus menangguhkannya,” katanya.
Dr. Sim turut melakukan pemeriksaan perparitan di Lorong Brother Albinus 11 dan Jalan Perpati yang akan dinaik taraf di bawah projek sama.
Mereka turut meninjau perkembangan projek menaik taraf Taman Selera Muhibbah yang dijangka siap menjelang Disember tahun ini.
Keempat-empat projek yang menelan kos RM1.6 juta itu dibiayai oleh kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II; Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek; Joseph Chieng dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS); Clarence Ting.
Oleh AKUN GIMAN