
SERIAN: Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak dengan kos RM260 juta kini mencatatkan kemajuan fizikal yang memberangsangkan dan dijadual siap sepenuhnya pada April 2027.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata kerajaan Sarawak komited memastikan pelaksanaan projek itu berjalan lancar bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang masih belum mendapat akses kepada bekalan air terawat.
Menurut beliau, sehingga kini Tahap 1 projek telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 77 peratus, manakala Tahap 2 merekodkan kemajuan sebanyak 74 peratus.
“Prestasi ini menunjukkan pelaksanaan projek berada pada landasan yang baik dan kerajaan akan terus memastikan setiap komponen disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja rasmi ke Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II di Bahagian Serian di sini, Selasa lepas.
Semasa lawatan itu, Julaihi turut meninjau kemajuan pembinaan beberapa komponen utama projek termasuk pembinaan tangki aras tinggi di Melikin, stesen pam penggalak di Sabal serta kerja-kerja pemasangan paip utama dan paip agihan yang sedang dilaksanakan.
Beliau berkata skop Tahap 1 melibatkan pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti tiga juta liter di Jalan Melikin, pemasangan paip utama dari Loji Rawatan Air Slabi ke Jalan Melikin, selain penyambungan paip agihan serta pemasangan paip retikulasi dan paip komunikasi.

Bagi Tahap 2 pula, skop kerja merangkumi pembinaan tangki takungan air berkapasiti 1.8 juta liter, pembinaan sebuah stesen pam penggalak, pemasangan paip utama bermula dari simpang Jalan Melikin hingga ke simpang Jalan Samalatong, selain pemasangan paip agihan, paip retikulasi dan paip komunikasi.
“Apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat kepada 1,647 buah rumah di 70 kampung di Bahagian Serian yang sebelum ini tidak mempunyai akses kepada bekalan air terawat.
“Ia sekali gus meningkatkan akses kepada bekalan air bersih dan selamat serta mempertingkatkan taraf hidup dan kesejahteraan penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Smdalam memperluaskan liputan bekalan air terawat di seluruh negeri melalui pelaksanaan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak.
Katanya, JBALB Sarawak akan terus komited memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual bagi menjamin bekalan air yang selamat, berkualiti dan berterusan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
Sebelum lawatan tapak dijalankan, Julaihi telah diberikan taklimat oleh Ts. Jill Jackson selaku Jurutera Air JBALB Bahagian Serian mengenai status dan perkembangan semasa Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr. Simon Sinang Bada, ADUN Bukit Semuja John Ilus, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong dan Pengarah Bekalan Air Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Ir. George Lee Chun Lung.
Oleh Adi Safarman