
BEKENU: Kerajaan Sarawak mengambil langkah segera untuk menangani hakisan pantai di Kampung Kuala Sibuti susulan laut bergelora sejak beberapa hari lalu.
Benteng sementara jenis ‘rock revetment’ atau benteng batu kedua akan dibina bagi melindungi struktur rumah penduduk yang terancam oleh ombak besar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata demikian ketika ditemui dalam penyerahan projek benteng hakisan di Kampung Kuala Sibuti, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek benteng sementara kedua sepanjang 71 meter itu dilaksanakan untuk melindungi kawasan pantai daripada hakisan yang semakin teruk ketika laut bergelora dan air pasang.
“Hakisan telah berlaku dan sudah mencecah kawasan berhampiran bangunan rumah,” katanya.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Miri atas tindakan pantas mereka dalam memberi maklum balas serta cadangan tindakan kecemasan kerana ia melibatkan struktur rumah,” tambahnya.

Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut memaklumkan bahawa projek kedua itu akan bermula dalam tempoh terdekat ini.
“Tempoh projek ini ialah selama enam bulan iaitu dari 14 Mei hingga 14 November dikendalikan oleh kontraktor Lucky Charm RWK Construction,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Rosey turut melakukan tinjauan ke atas projek benteng pertama di Kuala Sibuti bersama pihak JPS dan wakil kepada Pegawai Daerah Subis Farhan Iskandar Goh.
Turut hadir ialah Pemanca Dr Ali Mudin, Penghulu Wan Fauzi, Penghulu Pui Kuan Phen dan Penghulu Junit.
Oleh Adum Liu