

LUBOK ANTU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu terus komited memperkasakan keselamatan komuniti setempat menerusi penganjuran Program Pertemuan dan Sesi Ramah Mesra Amanita yang berlangsung di Pekan Lubok Antu, semalam.
Program yang diketuai oleh Ketua Amanita IPD Lubok Antu, Sub Inspektor Masniah Matlan itu memberikan tumpuan khusus terhadap penglibatan masyarakat, terutamanya golongan wanita dan suri rumah di daerah ini.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, program ini bertujuan untuk memperkenalkan peranan Amanita sebagai rujukan penting buat golongan wanita dalam usaha bersama-sama membanteras jenayah.
”Selain menyampaikan mesej pencegahan jenayah, program ini turut memberi penerangan terperinci mengenai penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta meningkatkan kesedaran mengenai isu keselamatan keluarga dan keganasan rumah tangga,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam program sama, masyarakat setempat turut diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan ancaman jenayah siber yang semakin berleluasa.
Peserta diberikan nasihat dan panduan agar tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan dalam talian, termasuk tidak melayan panggilan meragukan daripada individu yang tidak dikenali.
Secara keseluruhannya, program turun padang ini berjalan dengan lancar dan menerima sambutan serta maklum balas yang amat positif daripada penduduk Pekan Lubok Antu.
Inisiatif seumpama ini bukan sahaja berjaya menyebarkan maklumat keselamatan yang kritikal, malah terbukti berkesan dalam memperkukuh lagi hubungan silaturahim dan kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti setempat demi menjaga keharmonian bersama.
Oleh Adi Safarman