

BETONG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong berjaya menyelamatkan seorang penghuni hotel yang terperangkap di dalam bilik selepas pintu gagal dibuka akibat kerosakan pada kad akses di sebuah hotel dekat sini, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.51 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian dua minit kemudian.
Menurutnya, pengadu memaklumkan pintu bilik hotel tempat beliau bekerja tidak dapat dibuka ketika proses mengemas bilik dijalankan dan memohon bantuan APM untuk membuka pintu berkenaan.
“Setibanya di lokasi, pasukan APM mendapati seorang penghuni berada dalam bilik dan tidak dapat keluar kerana sistem kad akses pintu gagal berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak APM kemudiannya mendapatkan kebenaran untuk memecahkan pemegang pintu menggunakan peralatan khas bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan.
Katanya, pintu berjaya dibuka dan penghuni bilik tersebut disahkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Operasi melibatkan empat anggota APM diketuai Koperal Hamdan Mahmud bersama Lans Koperal Anthnio Gama Sempurai, Prebet Rizal Merebai dan Prebet Anddy Harrison Wahid.
Turut digunakan dalam operasi itu ialah sebuah ambulans pacuan empat roda, peralatan menyelamat, topi keselamatan dan sarung tangan.
Operasi tamat sepenuhnya pada 9.33 pagi.
Oleh Adi Safarman