
PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM2,831,000 kepada kerajaan Sarawak bagi membantu mangsa bencana banjir, kebakaran dan tanah runtuh di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata bantuan tersebut disampaikan melalui Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Saya serahkan tadi kepada mangsa-mangsa banjir, tanah runtuh dan kebakaran melalui Datuk Amar Douglas selaku Pengerusi SDMC (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak) untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa melalui kerajaan Sarawak,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Bil. 1/2025 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu menambah, peruntukan khas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan disalurkan dalam bentuk bantuan tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan akibat bencana.
Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM2,783,000 diperuntukkan kepada 2,783 keluarga yang terjejas akibat banjir dengan penyelarasan oleh JPBN Sarawak.
Selain itu, bantuan turut diberikan kepada mangsa kebakaran di Rumah Paulus anak Yan, Sungai Bawan, Kanowit melibatkan sembilan keluarga dengan jumlah RM9,000.
Bagi mangsa tanah runtuh pula, sebanyak RM31,000 diperuntukkan kepada 31 keluarga di Miri manakala lapan keluarga di Bintulu menerima sejumlah RM8,000.
Penyaluran bantuan ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat yang terjejas akibat bencana alam terus terbela.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali. – UKAS