KUCHING: Kerajaan komited untuk memastikan bahawa setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan bandar di Malaysia, khususnya di Sarawak, mengutamakan kelestarian jangka panjang.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kerajaan juga menggalakkan penglibatan aktif daripada pelbagai pihak, termasuk sektor swasta, komuniti dan organisasi bukan kerajaan, dalam merangka strategi dan pelan tindakan yang menyeluruh.
“Saya yakin bahawa dengan kerjasama semua pihak, kita dapat membentuk bandar-bandar yang bukan sahaja canggih dan maju dari segi teknologi dan ekonomi, tetapi juga mesra rakyat, berdaya tahan dan mampan dari segi alam sekitar,” katanya ketika berucap serta merasmikan Majlis Forum Stakeholder Aseemblies SUF 1.0 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Sementara itu beliau berkata, urbanisasi merupakan satu proses yang tidak dapat dielakkan, khususnya dalam dunia moden ini.
Di Malaysia, ujarnya, kita menyaksikan bagaimana kawasan bandar berkembang dengan pesat, termasuk di Sarawak.
Jelasnya, Pembangunan bandar membawa pelbagai peluang dari segi ekonomi, infrastruktur, pendidikan, dan kesihatan namun ia juga mendatangkan cabaran besar.
“Jika kita tidak merancang dengan teliti dan melaksanakan strategi yang tepat, kita mungkin berdepan dengan isu seperti ketidaksamaan sosial, kemiskinan bandar, pencemaran alam sekitar dan kekurangan perkhidmatan asas” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai juga perlu mengutamakan pendekatan yang berteraskan kepada prinsip-prinsip pembangunan mampan.
“Ini termasuklah pemeliharaan alam sekitar, perancangan bandar yang cekap, serta memastikan kesejahteraan sosial dan ekonomi semua penduduk, tanpa mengira status atau latar belakang mereka” jelasnya.
Di samping itu, beliau menyeru kepada orang ramai untuk memastikan bahawa bandar-bandar yang dibina sebagai sebuah bandar yang inklusif.
“Setiap warga bandar harus merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada pembangunan ini,” ujarnya.
Oleh Noor Ikmal