LAWAS: Sungai, hutan bakau dan laut adalah warisan alam yang perlu dijaga dalam memastikan kelestarian alam sekitar.
Malahan sumber sungai, laut dan bakau adalah sumber rezeki kepada masyarakat di kawasan pesisir yang mesti dipelihara.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan menjelaskan kepentingan alam khususnya sungai di Daerah Lawas yang masih terjaga baik dan belum teruk tercemar.
Awang Tengah yang juga Menteri pembangunan Bandar dan Sumber Asli dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyatakan demikian pada majlis Jangkauan Pengembangan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Awat-awat, Sundar semalam.
Seterusnya beliau memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak amat mengambil serius kepentingan sektor pertanian, perikanan dan sektor ekonomi lainnya.
Justeru itu kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan Pengawal Pantai yang akan menjaga kepentingan maritimnya di sepanjang kawasan laut Sarawak.
Ini termasuk menubuhkan sebuah pasukan Pengawal Pantai
di Lawas yang akan bertindak membantu menjaga kawasan maritim Lawas di Teluk Brunei.
Selain itu, Kerajaan Sarawak juga membelanjakan peruntukan besar untuk melabuhkan tukun tiruan daripada Sematan hingga ke Lawas dengan kos RM70 juta dengan panjangnya ribuan kilometer.
Ini adalah bagi memastikan hidupan marin khususnya ikan di kawasan pesisir terus membiak dan terlindung daripada ancaman kapal pukat tunda yang sering menceroboh kawasan pesisir laut Sarawak.
Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari turut mengumumkan kerja naik taraf Stesyen Perikanan Punang yang akan menjadi pusat penyelidikan dan pembekal benih ikan yang utama di rantau ini.
Sejajar dengan itu, beliau meminta Jabatan Perikatan daripada Bahagian Perikanan untuk melakukan penyelidikan bagi menghasilkan ternakan ikan tamban dalam sangkar.
Penyelidikan ini penting dalam memastikan bekalan ikan tamban Lawas yang digunakan untuk menghasilkan tahai dapat ditambah untuk tujuan komersil.
Oleh itu, bermula tahun depan pihak Kerajaan Sarawak akan membina rumah menyalai tahai secara mengikut zon di Awat-awat, Punang dan Kuala Lawas.
Pada masa yang sama, keluarga nelayan juga turut digesa untuk terlibat dalam aktiviti pertanian dengan menggunakan teknologi moden.
Usaha ini mampu menambah pendapatan keluarga selain bergantung kepada hasil laut dan sungai semata-mata.
Turut hadir, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara( NRDA) Datu Ubaidillah Haji Abdul Latip, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Japaruddin Ali dan Dato Hajah Dayang Morliah Datuk Haji Awang Daud.
Oleh ADENG EDRUS