SIBU: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengekalkan kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan Sarawak untuk rakyat di negeri ini.
Tegasnya, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menyelaras kadar tersebut mengikut kadar di Semenanjung.
Jelas beliau, kadar cukai yang dikenakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah berbeza-beza, di mana kadar cukai jalan di Sabah dan Sarawak adalah lebih rendah.
“Kita akan mengekalkan apa sahaja (kadar bayaran LKM) yang sedang dinikmati oleh rakyat Sarawak pada masa ini.
“Ini kerana, atas faktor keadaan jalan dan faktor lain. Pada masa lalu, kita mempunyai struktur cukai yang sangat berbeza terutamanya (yang melibatkan) ‘lesen kenderaan bermotor’ (lesen kenderaan bermotor),” katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah JPJ Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii, Ketua Pejabat JPJ Sibu Mohd Faizal David Jemat dan yang lain.
Beliau ditanya sama ada Kementerian Pengangkutan mempunyai perancangan untuk menyelaras kadar LKM atau cukai jalan di seluruh Malaysia.
Wee memberitahu bahawa, terdapat contoh kes di mana seorang pemilik (kereta jenama mahal) Porsche memandu di Semenanjung, namun (kenderaan tersebut) didaftar di sini (Sabah/Sarawak).
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada pengguna jalan raya terutama di Semenanjung agar tidak menyalahgunakan LKM ini untuk menikmati kadar LKM yang rendah.
“Di Sarawak, anda hanya perlu bayar beberapa ribu sahaja, tetapi di Semenanjung anda perlu membayar kira-kira RM50,000.
“Jadi, kamu perlu bayar (kadar LKM) di mana kenderaan kamu diguna, jika di Semenanjung kamu perlu bayar ikut kadar di sana, jika di Sarawak kamu bayar ikut kadar di sini,” tegasnya.
Sementara itu, Wee turut mengedar pelitup muka kepada kakitangan JPJ yang bertugas di cawangan itu, semalam.
Oleh Nurzilla Mohamad